Batal Konsert ‘Sifu & Aku 38’, Hattan nafi ada kaitan babitkan kontroversi dengan pembaca berita

Batal Konsert ‘Sifu & Aku 38’, Hattan nafi ada kaitan babitkan kontroversi dengan pembaca berita

Penyanyi Datuk Hattan menjelaskan isu kontroversi dengan pembaca berita wanita sebuah stesen televisyen sebelum ini tidak menjejaskan aktiviti seninya. 

Hattan berkata, semuanya berjalan seperti biasa. Bahkan, tawaran ‘show’ (persembahan) tidak putus-putus diterima. 

“Alhamdulillah, saya tak menang tangan ditawarkan menyanyi di sana sini. Ada satu syarikat ambil saya menyanyi untuk lima ‘show’ anjuran mereka di seluruh negara. 

“Sudah semestinya saya menyanyi dengan iringan pemuzik pengiring,” katanya, memetik Harian Metro.

Dalam perkembangan berkaitan, Hattan menafikan dakwaan Konsert ‘Sifu & Aku 38’ yang menggabungkannya dengan Datuk M. Nasir dibatalkan kerana penjualan tiket tidak laku.

Malah, ia juga tidak berkaitan secara langsung dengan kontroversi membabitkannya sebelum ini. 

Menurutnya, konsert yang sepatutnya berlangsung di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) pada 25 Mei ini dan seterusnya Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah pada 1 Jun depan terpaksa ditunda atas beberapa faktor, antaranya kematian kakitangan Luncai Emas milik M. Nasir.

“Yang kendalikan urusan di sana ialah Allahyarham Sham Amir Hussain. Arwah bawa masuk banyak penaja untuk konsert ini. 

“Jadi, buat masa ini konsert terpaksa ditunda untuk sementara waktu. Saya diberitahu tiket berharga RM1,000 dan RM188 untuk konsert di Sabah habis dijual. 

“Persediaan untuk show pun dah dibuat tanpa masalah. Kami semua dah dibayar sekitar 60 peratus. Ia mungkin akan berlangsung sekitar Ogos nanti. 

“Kami akan buat sidang media khas untuk perkembangan lanjut nanti,” katanya ditemui hadir pada Majlis Sambutan Hari Raya anjuran IRAMA, Koperasi Buskers, AG Realty dan AG Top Academy di Grand Barakah Hotel, di sini,  hari ini.  

Majlis ini juga menyaksikan termeterai Memorandum Perjanjian Persefahaman (MoU) antara Konsortium Industri Rakaman Muzik Malaysia (IRAMA) yang diwakili oleh Presidennya Ayob Abdul Majid, Malaysian Buskers oleh Presidennya Wady Hamdan dan AG Realty Sdn Bhd serta AG Top Academyv oleh pengasasnya Farha Yusuff serta Pengarah Ts Kamal Abdul Ghafur Korusamy. 

Ia bagi menjalankan aktiviti pendidikan dan latihan profesional dalam industri hartanah di Malaysia kepada ahli IRAMA dan Koperasi Buskers.