Bayi 3 bulan tidak sedarkan diri, maut di pusat asuhan

Bayi 3 bulan tidak sedarkan diri, maut di pusat asuhan

 

Bayi lelaki berusia tiga bulan meninggal dunia selepas tidak sedarkan diri ketika berada di pusat asuhan di Seksyen 15, Bandar Baru Bangi, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, pihaknya menerima panggilan daripada jururawat hospital swasta di Bandar Baru Bangi, 12.10 tengah hari tadi.

“Menurut jururawat itu, pihaknya menerima bayi berusia tiga bulan dalam keadaan tidak sedarkan diri yang dihantar oleh pihak sebuah pusat asuhan kanak-kanak di Seksyen 15 Bandar Baru Bangi.

“Rawatan kecemasan sudah diberikan kepada bayi berkenaan, namun tiada tindak balas sebelum mangsa disahkan meninggal dunia,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Zaid berkata, siasatan awal dilakukan mendapati bayi itu dihantar ibunya dalam keadaan sihat di pusat asuhan itu, 7.15 pagi tadi.

“Namun, bayi itu disedari tidak sedarkan diri oleh pihak pengasuh pada 10.30 pagi. Pemeriksaan pada tubuh bayi terbabit tidak menemui sebarang kecederaan.

“Mayat bayi itu dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Serdang untuk proses bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian,” katanya.

Beliau berkata, semakan mendapati pusat asuhan itu beroperasi sejak 2014 dan mempunyai lesen sah daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Selangor.

“Hasil siasatan di lokasi kejadian mendapati tiada sebarang unsur kekerasan, namun disyaki terdapat unsur kecuaian menyebabkan kematian pada bayi terbabit.

“Kes itu disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001. Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu boleh menghubungi pegawai penyiasat kes, Inspektor Noor Hairul Anuar Shuhaimi di talian 012-3043034 bagi membantu siasatan,” katanya.