Bayi doktor 8 bulan maut selepas 10 jam tertinggal dalam kereta di parkir hospital

Bayi doktor 8 bulan maut selepas 10 jam tertinggal dalam kereta di parkir hospital

Insiden tertinggal anak dalam kenderaan bukanlah satu kes terpencil kerana banyak dilaporkan berlaku dalam masyarakat hari ini.

Terbaharu, seorang bayi perempuan berusia lapan bulan dilaporkan meninggal dunia selepas 10 jam ditinggalkan di dalam kereta oleh ibunya di parkir kereta di Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM, Cheras.

Kejadian berlaku selepas ibu mangsa yang juga seorang doktor, menyangka sudah menghantar bayinya itu ke taska sebelum ke tempat kerja.

Menurut sumber, ibu mangsa hanya menyedarinya apabila menerima panggilan telefon daripada suami pada jam 5.30 petang yang memaklumkan anaknya tiada di taska.

Bayi Maut 2

“Wanita berkenaan menerima panggil telefon daripada suaminya jam 5.30 petang menyatakan anaknya tiada di taska dan selepas diperiksa sekali lagi oleh suaminya, wanita itu terus pergi ke tempat letak kenderaan iaitu lokasi keretanya diletakkan.

“Dia mendapati anaknya berada di kerusi bayi bahagian belakang dalam keadaan tidak bermaya lantas mengeluarkan mangsa untuk memberikan bantuan pernafasan (CPR) sebelum dibawa ke wad kecemasan untuk rawatan lanjut,” katanya.

Bapa mangsa kemudian tiba di lokasi parkir kereta dan mendapati isterinya sedang berusaha memberikan CPR kepada anaknya dan meminta isterinya membawa mangsa ke wad kecemasan untuk tindakan lanjut.

Difahamkan, bantuan pernafasan telah dilakukan selama enam minit tetapi mangsa tidak menunjukkan sebarang tindak balas dan tanda-tanda hayat.

“Bayi itu telah disahkan meninggal dunia dan bedah siasat akan dilakukan untuk menentukan punca kematian,” katanya.

Polis menyatakan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001, iaitu pengabaian terhadap kanak-kanak.