Bayi lelaki koma selepas 3 hari didaftar, tiga pengasuh taska ditahan

Bayi lelaki koma selepas 3 hari didaftar, tiga pengasuh taska ditahan

 

Tak dinafikan, rumah pengasuh merupakan pilihan utama bagi sesetengah ibu bapa untuk pastikan kebajikan anak kecil terjaga sepanjang keluar bekerja. Walau bagaimanapun, isu penganiayaan kanak-kanak melibatkan golongan ini seolah-olah tiada pengakhirannya. Rabu lalu, seorang bayi lelaki berusia 4 bulan dilaporkan mengalami komplikasi serius apabila dijemput pulang dari sebuah pusat jagaan kanak-kanak berdaftar di Batu Burok, Terengganu.

Baru 3 hari didaftarkan di pusat jagaan kanak-kanak…bayi koma dipercayai akibat perbuatan pengasuh

Terdahulu, bayi malang itu baru sahaja didaftarkan selama 3 hari sebelum kejadian tersebut berlaku. Ia disedari oleh bapanya, yang bertugas sebagai pegawai perubatan ketika mengambilnya di pusat jagaan berkenaan. Disebabkan mengalami kecederaan serius pada otak dan keretakan tempurung kepala, dia yang kini dalam keadaan koma sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi Kanak-Kanak (PICU).

Pengasuh nafi berlakunya penganiayaan…tapi rakaman CCTV dedah suspek hentak kepala, hempas & goncang tubuh bayi

Selepas laporan polis dibuat, pengasuh pusat jagaan terbabit dipanggil untuk membantu siasatan. Namun dia nafi berlakunya sebarang penganiayaan, selain beri keterangan yang agak meragukan. Bagaimanapun pemeriksaan lanjut melalui rakaman CCTV mendapati, suspek bukan sahaja memukul bahagian kepala kanak-kanak tersebut dengan tangan. Bahkan tubuh bayi tersebut juga dihempas serta digoncang sepanjang berada di sana.

3 pengasuh wanita ditahan pihak polis semalam

Susulan itu, pihak polis telah menyerbu pusat jagaan kanak-kanak semalam. Seramai 3 wanita tempatan berusia lingkungan 22 hingga 33 tahun yang bekerja sebagai pengasuh juga telah ditahan. Jika disabit kesalahan, masing-masing boleh dikenakan denda maksimum RM 50,000 atau penjara 20 tahun atau kedua-duanya sekali.