Bekalan air Lembah Klang pulih, tindakan pantas Air Selangor berjaya senyapkan pengkritik

Pemulihan bekalan air di kawasan yang terjejas di Lembah Klang telah mencapai tahap 85 peratus setakat 6 petang ini.
Perkara itu dimaklumkan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) hari ini dalam satu kenyataan.
Air Selangor memaklumkan tiga wilayah iaitu Hulu Selangor, Kuala Langat dan Shah Alam sudah mencapai tahap pemulihan 100 peratus.
“Tahap pemulihan di lima wilayah pula iaitu Kuala Selangor ialah 99.4 peratus, Petaling (98.9), Gombak (85), Kuala Lumpur (70.5) dan Klang (50.4),” kata Air Selangor lapor Bernama.
Menurut Air Selangor tempoh masa gangguan dan pemulihan bekalan air di kawasan-kawasan yang terjejas adalah berbeza bergantung kepada jarak lokasi premis pengguna dan tekanan air pada sistem agihan bekalan air.
Air Selangor berharap para pengguna yang telah mendapat bekalan air akan menggunakan air secara berhemat bagi memastikan proses pemulihan di kawasan yang masih terjejas berjalan lancar seperti dijadualkan.
Air Selangor sebelum ini memaklumkan gangguan bekalan air berjadual berlaku di 998 kawasan di lapan wilayah pada 13 hingga 16 Okt disebabkan Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1 (LRA SSP1) akan dihenti tugas untuk memberi laluan kepada pelaksanaan kerja-kerja penambahbaikan dan penyenggaraan aset-aset kritikal.
Sumber – Agenda Daily