Bekas isteri dedah, Radhi OAG jerit ‘kau ingat kau cantik’ gara-gara enggan ‘selfie’ berdua

Bekas isteri dedah, Radhi OAG jerit ‘kau ingat kau cantik’ gara-gara enggan ‘selfie’ berdua

 

Bekas isteri Radhi OAG, Nur Shaira Ayu Zahiri tampil menjelaskan berhubung kejadian dimarahi penyanyi tersebut sebelum berlaku pergaduhan di parkir sebuah kondominium di Damansara, Petaling Jaya pada 19 April tahun lalu.

Menurut laporan Kosmo!, penyanyi berusia 46 tahun itu mengeluarkan kata-kata kesat termasuk mengatakan ‘kau ingat kau bagus, kau ingat kau cantik’ selepas wanita berkenaan menolak untuk berswafoto.

Bercerita lanjut, Nur Shaira yang juga saksi pendakwaan pertama berkata, kejadian berlaku sewaktu dia dan kakaknya mahu mengambil anak lelaki mereka di kondominium tersebut.

Wanita berusia 29 tahun itu berkata, Radhi kemudian ingin berbincang mengenai isu anak di tepi kereta sebelum dia mahu bergerak pulang.

“Radhi kemudian mengajak saya untuk berswafoto dalam kereta menggunakan telefonnya. Saya cakap tidak mahu rakam gambar macam itu, tak perlu nak peluk dan berswafoto kerana sudah bercerai.
“Kalau nak bergambar, ambil di luar kereta dan di situ permulaan Radhi marah. Dia jerit depan muka saya termasuk mengeluarkan perkataan kesat kerana marah kenapa tidak boleh berbaik untuk ambil gambar.
“Saya cakap elok-elok kenapa perlu marah? Kita ada kehidupan masing-masing dan tidak perlu ambil gambar sebegini,” katanya ketika hadir di Mahkamah Majistret Petaling Jaya, semalam.

Disebabkan situasi itu, berlaku kejadian tolak menolak dan pergaduhan sebelum dileraikan kakaknya dimana tangannya juga mengalami kesan lebam sekali gus tampil membuat laporan di Balai Polis Kota Damansara pada hari sama.

Mengikut kertas pertuduhan, penyanyi lagu Generasiku itu didapati dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap bekas isterinya yang didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda hingga RM2,000 atau kedua-duanya.

Untuk rekod, Radhi dan Nur Shaira mendirikan rumah tangga pada 14 April 2014 dan dikurniakan dua cahaya mata iaitu Nur Aisyah, 8, dan Muhammad, 6.

Sebelum itu, dia juga pernah berkahwin dengan Shazlin Sharif pada 1 Januari 2005 namun berpisah pada 8 Jun 2010. Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan seorang anak lelaki Muhammad Rifdi Muslim, 17.