Bekas MB Selangor dimasukkan ke ICU

Bekas MB Selangor dimasukkan ke ICU

Bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim kini sedang menerima rawatan di unit rawatan rapi (ICU) di sebuah hospital di Kuala Lumpur.

Perkembangan itu dikongsikan menerusi Facebook miliknya yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelabuhan Klang itu pada Sabtu.

Menurut perkongsian oleh pengendali Facebook berkenaan, keluarga Abdul Khalid menghargai keprihatinan pihak luar serta kenalan yang berhasrat untuk datang berziarah.

“Kami menerima banyak permohonan daripada teman-teman rapat untuk berziarah bagi memberi kata-kata semangat dan sokongan. Kami amat menghargai hasrat dan niat baik itu.

“Namun, memandangkan keadaan Tan Sri yang sangat sensitif terhadap persekitaran luar, pihak hospital telah mengenakan SOP (prosedur operasi standard) yang sangat ketat.

“Jumlah pelawat juga terhad dan kami dahulukan kepada ahli keluarga sahaja,” menurut kenyataan di Facebook pada Sabtu.

Kata kenyataan itu, pihak keluarga juga memohon agar diberikan ruang kepada mereka ketika berhadapan dengan situasi begini.

“Marilah sama-sama kita berdoa agar kesihatan tan sri pulih seperti sedia kala dan keluarga diberi kekuatan dan kesabaran yang tinggi di dalam menghadapi ujian besar ini,” kata kenyataan itu.

Pada Khamis, Faekah Husin yang merupakan bekas Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor, memohon orang ramai mendoakan kesihatan Abdul Khalid.

Sebelum ini, Abdul Khalid pernah dimasukkan ke hospital swasta akibat jangkitan paru-paru.

Beliau pernah menyandang jawatan Menteri Besar Selangor selama enam tahun bermula 13 Mac 2008 hingga 22 September 2014.

Namun, beliau dipecat sebagai Menteri Besar Selangor oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR) sebelum jawatan itu digantikan bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.