Bekas MB tampil dedahkan hubungan antara Sanusi dan syarikat yg didakwa gondol Gunong Inas

Bekas MB tampil dedahkan hubungan antara Sanusi dan syarikat yg didakwa gondol Gunong Inas

Keputusan untuk menukar tanaman pokok getah klon balak (TLC) kepada durian musang king di Gunung Inas dilakukan bawah kerajaan Barisan Nasional (BN) ketika ditadbir oleh Menteri Besar Kedah ketika itu, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah.

Bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, anak syarikat kerajaan negeri, Kedah Agro Sdn Bhd yang sebelum itu diamanahkan untuk menanam semula kawasan tersebut gagal melaksanakannya menyebabkan Aman Mega Sdn Bhd dilantik mengambil alih tanggungjawab itu.

Menurutnya, bagaimanapun syarikat berkenaan kemudiannya bertukar pemilik selepas dibeli oleh syarikat ECK.

“Ketika Ahmad Bashah terajui Kedah, ECK dibenarkan menanam durian.

“Untuk makluman, syarikat ECK juga menaja pasukan bola sepak Kedah ketika itu, yang kemudiannya dianugerahkan projek mega lapangan terbang antarabangsa (KXP) oleh Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor,” katanya dalam kenyataan akhbar yang dilaporkan Sinar.

Mengulas lanjut, Mukhriz berkata, terkini difahamkan Muhammad Sanusi membatalkan anugerah terbabit kerana akhirnya terbukti ECK tidak mampu melaksanakan projek mega tersebut, seperti yang pernah beliau bangkitkan beberapa kali sebelum ini.

Sehubungan itu, Ahli Parlimen Jerlun itu berharap tiada lagi pihak tertentu yang membuat tuduhan liar terhadap beliau dan kerajaan negeri pimpinannya ketika mentadbir Kedah sebanyak dua kali, semata-mata untuk mengaburi mata rakyat daripada kebenaran.

“Kebanyakan komen berkaitan penanaman durian musang king dianggap antara punca berlakunya bencana, namun perlu dilihat kawasan Hutan Simpan Kekal di Gunung Inas telah ditukar statusnya kepada ladang pertanian oleh kerajaan BN pada 2007, dijenamakan kepada Ladang Sejahtera oleh kerajaan Pas pada 2008.

“Untuk melaksanakan ladang di tanah hutan, tentunya pokok hutan perlu ditebang. Yang ditebang bukan hanya pokok bernilai tinggi, tetapi ditebang bersih atau ‘cuci mangkuk’ untuk tanaman semula pokok TLC atau pokok hutan yang diluluskan Jabatan Perhutanan.

“Inilah yang dilakukan kerajaan Pas seperti diakui Menteri Besar sendiri. Adakah kajian Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) dibuat pada ketika tebang bersih itu dilakukan?” soal Mukhriz.

Menurut Mukhriz yang menerajui Kedah sebagai Menteri Besar bermula Mei 2013 hingga Februari 2016 di bawah era Barisan Nasional (BN) manakala antara Mei 2018 hingga Mei 2020 bawah era Pakatan Harapan (PH), sekitar 2012-2013, beliau antara pihak yang membantah projek Ladang Sejahtera di Kedah.

“Saya bantah bukan kerana pokok yang hendak ditanam, tetapi kerana hutan simpan digondolkan.

“Malah pengalaman projek Ladang Rakyat di Kelantan oleh kerajaan Pas di sana menunjukkan kerja-kerja penanaman semula tidak dilakukan secara serius, mengakibatkan banjir di negeri tersebut,” ujarnya.

Mukhriz memaklumkan, apabila kembali sekali lagi pada tahun 2018 dan menjadi Menteri Besar Kedah, beliau memutuskan untuk mengehadkan penanaman durian kepada hanya 20 peratus kerana kerja penanaman sudah mencapai tahap tersebut.

“Jabatan Alam Sekitar benarkan peratusan itu untuk tanaman selain TLC dan tujuh spesis pokok hutan yang lain.

“Perlu diingatkan, penanaman semula walaupun melibatkan kerja teres tanah, bukanlah punca hakisan tanah dan banjir.

“Bencana tidak akan berlaku sekiranya hutan simpan tidak disentuh untuk pembalakan pokok bernilai tinggi serta aktiviti tebang bersih atas alasan Ladang Sejahtera sebelum 2013,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Mukhriz selaku Presiden Parti Pejuang Tanahair (Pejuang) turut mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa yang terkorban dalam tragedi banjir dan kepala air di Kupang, Baling pada petang Isnin lalu yang meragut nyawa tiga mangsa.

“Jentera sukarelawan Pejuang turut turun padang membantu mangsa dengan mengedarkan makanan bermasak selain mencuci rumah yang dimasuki lumpur,” katanya.

Pada Isnin, Muhammad Sanusi tegaskan, kelulusan ladang hutan untuk tanaman getah TLC di Gunung Inas dilakukan pada era pemerintahan BN pada 2007, bukannya oleh kerajaan Pas pimpinan Allahyarham Tan Sri Azizan Abdul Razak.

Beliau maklumkan kawasan ditanam durian musang king terbabit dipercayai dilakukan penebangan balak antara tahun 2018 dan 2019.

Sebelum itu, Mukhriz menafikan dakwaan kerajaan Kedah pimpinannya sebelum ini mempunyai kaitan dengan projek ladang durian musang king di Gunung Inas, yang dikaitkan antara punca tragedi kepala air di Baling.