Bekas menteri kesihatan tak setuju naikkan kompaun terhadap pesalah langgar SOP

Bekas menteri kesihatan tak setuju naikkan kompaun terhadap pesalah langgar SOP

Bekas menteri kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad tidak bersetuju dengan cadangan  ketua polis negara untuk menaikkan kompaun sebanyak RM1,000 yang dikenakan terhadap pesalah yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) bagi perintah kawalan pergerakan (PKP).

“Kita mahu lihat lebih banyak pematuhan terhadap SOP dengan menggunakan pendekatan yang lembut.

“Dalam isu kesihatan awam kita pilih (pendekatan) sukarela, yang memberi manfaat dan mengajak untuk perubahan tingkah laku.

“SOP adalah mengenai menanam konsep perubahan tingkah laku dalam minda orang awam dan perubahan ini hanya boleh dicapai melalui pemberdayaan.

“Sebabnya kita tidak berjaya adalah kerana naratifnya tidak jelas dan juga dianggap terlalu cengeng dan menghukum,” kata Dr Dzulkefly kepada Malaysiakini.

Katanya, sekiranya kerajaan dilihat bersikap tegas dengan orang biasa berbanding orang kenamaan, hukuman yang lebih keras akan ‘memakan diri’.

“Lebih buruk lagi, ia juga dianggap sebagai pendekatan sepihak untuk menangani kes-kes apabila melibatkan orang awam berbanding individu kenamaan (VIP) dan ini akhirnya menambahkan lagi ketidakpuasan hati masyarakat,” katanya.

Dr Dzulkefly berkata hanya dengan pendidikan dapat meningkatkan pematuhan SOP di kalangan orang ramai.

Sebaliknya dia mencadangkan hukuman khidmat masyarakat dikenakan bagi mereka yang ingkar SOP.

“Katakanlah mereka melanggar peraturan tentang pemakaian pelitup muka, mungkin hukumannya adalah meminta mereka memakai pelitup muka di kawasan umum selama lapan jam,” sarannya. – MK