Bekas MP PKR ugut tarik sokongan jika Zuraida disingkir

Bekas MP PKR ugut tarik sokongan jika Zuraida disingkir

Muhyiddin enggan mengambil risiko kehilangan kerajaan persekutuan sekiranya tindakan diambil terhadap Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Zuraida Kamarudiin.

Ini selepas timbul dakwaan bekas MP PKR yang khianat dan menyertai Bersatu mengugut akan menekan butang sokongan sekiranya Bersatu berkeras mahu menghukum Zuraida.

Menurut sumber yang mendedahkannya, jumlah MP yang terlibat itu cukup bagi menumbangkan kerajaan Keluarga Malaysia pimpinan Ismail Sabri sekarang ini.

Sementara itu, Muhyiddin mengumumkan Zuraida masih dikekalkan sebagai ahli MPT parti tersebut sementara menunggu penilaian dibuat berhubung dakwaan penglibatannya dengan Parti Bangsa Malaysia (PBM).

Bagaimanapun, tambah Muhyiddin lagi, kedua-dua jawatan MPT dan status Zuraida menjadi pertaruhan jika dakwaan itu didapati benar.

“Kita belum buat keputusan tentang kedudukan beliau (Zuraida), walaupun banyak yang agak nyatakan beliau sudah menyertai parti lain.

“Saya tidak dapat lagi kenyataan sebenar, tetapi secara ringkasnya, beliau masih ahli MPT, kalau ada apa-apa perkembangan, penilaian akan dibuat mengenai status beliau.

“Bukan hanya hanya soal kedudukan sebagai ahli MPT Bersatu, tetapi Jemaah Menteri (menjadi pertaruhan) kerana beliau dilantik menerusi kapasiti Bersatu,” kata Muhyiddin semasa sidang media di Kuala Lumpur, hari ini, seperti dilaporkan oleh Malaysiakini.

Jumaat lalu, Zuraida berkata walaupun khabar angin tersebar mengenai kedudukannya dalam Bersatu, namun dia akan menjalankan tugasnya seperti biasa.

Jelas Zuraida, komitmennya sebagai menteri menghalang dia daripada menghadiri mesyuarat MPT Bersatu baru-baru ini.

Terdahulu pada hari yang sama, Utusan Online yang memetik sumber melaporkan Zuraida telah disingkirkan daripada kumpulan WhatsApp MPT Bersatu, yang dianggotai lebih 30 ahli termasuk Muhyiddin.

Ini susulan mesyuarat isu pemecatannya dan beberapa individu lain dalam parti itu yang didakwa terlibat dengan PBM.

PBM merupakan parti politik baru dan ditubuhkan oleh sekumpulan bekas pemimpin PKR yang sehaluan dengan anggota Parlimen Ampang itu.

Walau bagaimanapun PBM kemudiannya menegaskan bahawa Zuraida tidak berada dalam senarai keahliannya.