Bekas pemain bolasepak raih pendapatan RM100k sebulan jual pisang

Bekas pemain bolasepak raih pendapatan RM100k sebulan jual pisang

 

Kesusahan bekas pemain bola sepak bukan satu perkara baru dalam arena bola sepak tempatan.

Malah sebelum ini ini, beberapa kisah bekas pemain bola sepak terkenal tular di media sosial apabila terpaksa menjual koleksi barangan peribadi mereka demi kelangsungan kehidupan seharian.

Namun ada yang berjaya merancang dengan baik kerjaya mereka selepas bersara dan tidak kurang juga yang terpaksa bergelut mencari kerja lain selepas tidak bergelar pemain.

Jika tidak beralih ke bidang kejurulatihan, seseorang pemain itu perlu mempunyai perancangan jelas dalam merancang kehidupannya.

Hari ini terdapat beberapa pemain juga yang mempunyai perniagaan sendiri antaranya Mohamad Hisyamudin Mohamed Shaari yang menceburi bisnes membekal pisang abu nipah secara serius sejak tiga bulan lalu.

Bekas pemain Harimau Malaya itu tidak menyangka pertemuan dengan rakan lama sekolahnya, Malik Bahar pada tahun lalu yang mengeksport pisang menerusi Asia Global Venture (AGV) di Medan, Indonesia ke negara ini telah mengubah hidupnya.

Ini kerana bekas pemain KL Rovers itu kini mampu membekal pisang abu nipah di menerusi syarikatnya, Sahabat Pisang Venture (Sahabat Pisang) sebanyak 10 tan kepada 200 cawangan Goreng Pisang Crispy (GPC) setiap minggu dengan nilai eksport RM500,000.

Malah bapa kepada tiga anak ini mengakui berjaya meraih jualan sebanyak RM100,000 sebulan secara keseluruhan termasuk kepada pemborong buah yang terdapat di Lembah Klang.

“Saya memilih bisnes pisang kerana sedar permintaan yang cukup tinggi daripada pemborong dan peniaga kerana masyarakat gemar membeli sama ada untuk dimakan sahaja atau dibuat goreng.

“Selepas tiga bulan beroperasi secara serius, Sahabat Pisang telah membuka cawangan kedua di Seremban dan bakal mengembangkan pasaran ke Terengganu.

“Selain membekal pisang untuk cawangan GPC, saya juga membuka cawangan itu secara francais agar seiring dalam perniagaan dan dalam perancangan untuk membuka lima lagi cawangan GPC pada tahun ini,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di gerai buah dan GPC miliknya di Gombak, baru-baru ini.

Mohamad Hisyamudin yang kini berusia 37 memiliki satu cap bersama Harimau Malaysia yang ketika itu di bawah kendalian jurulatih Datuk K. Rajagopal.

Produk Sekolah Sukan Bukit Jalil itu adalah seangkatan dengan pemain seperti Safiq Rahim dan pasangan kembar, Aidil Zafuan Abdul Razak dan Zaquan Adha.

Kali terakhir di beraksi secara kompetitif adalah pada tahun 2022 apabila membantu KL Rovers muncul naib juara Liga M3. Namun sepanjang tahun lalu, dia hanya aktif sebagai jurulatih sambilan di akademi bola sepak selain menerima jemputan beberapa kelab dalam perlawanan tertentu sebelum menceburi bisnes pisang sejak Ogos tahun lalu.

Mengulas lanjut, Mohamad Hisyamudin mengakui pendapatan pemain bola sepak memang lumayan namun jangka hayatnya agak singkat dan dia harus bijak dalam menguruskan kewangan.

Malah dia mengambil keputusan ‘bersara’ dengan membina jenama Sahabat Pisang walaupunn berdepan rasa malu di awal berniaga di gerai buahnya itu.

Namun dia kini mahu mengajak rakan bekas pemain yang lain untuk turut sama meneroka dunia perniagaan sepertinya demi kelangsungan hidup bersama.

“Nasihat saya buat rakan-rakan yang lain, rancang kewangan dan bersara dengan membuka perniagaan kerana berniaga adalah salah satu sunnah Rasulullah SAW.

“Pada awalnya memang ada cabaran dan saya yakin kerja keras ini akan membuahkan hasil dan rezeki yang lebih berkat serta memberikan kepuasan kerana perniagaan ini satu cabang baru tanpa pendapatan yang terhad.

“Saya juga berharap dengan Sahabat Pisang dapat membantu rakan-rakan pemain bola lain untuk turut sama berniaga bersama saya untuk membuka cawangan Sahabai Pisang di negeri lain,” tambahnya lagi.

Bekas pemain UiTM FC itu turut berkongsi cabaran dalam perniagaan yang memerlukan sokongan sistem untuk berjaya.

“Majoriti peniaga goreng pisang perlukan pisang setiap hari dan perkhidmatan yang diberikan Sahabat Pisang ialah memastikan mereka mempunyai bekalan pisang setiap hari dengan harga lebih murah.

“Ini kerana harga pisang di Malaysia agak mahal dan memberi tekanan kepada golongan peniaga dan kepercayaan diberikan AGV untuk menjadi pembekal tunggal pisang dari Medan ke negara ini adalah satu peluang keemasan,” katanya di mana turut memiliki saham di dalam Sahabat Pisang.