Bekas penyampai berita TV3 dilantik Ketua Pengarah Penyiaran yang baru

Bekas penyampai berita TV3 dilantik Ketua Pengarah Penyiaran yang baru

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil merakamkan ucapan tahniah kepada personaliti penyiaran, Suhaimi Sulaiman atas pelantikan sebagai Ketua Pengarah Jabatan Penyiaran Malaysia yang baharu.

Menerusi catatan di Facebooknya, Fahmi berkata, Suhaimi mempunyai pengalaman luas dalam bidang pentadbiran dan penyiaran serta pernah berkhidmat di Kumpulan Media Sarawak, Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Astro Awani dan Media Prima.

“Insya-Allah dengan kepakaran beliau akan terus memacu kecemerlangan dan memberi suntikan baharu buat Jabatan Penyiaran Malaysia,” kata catatan itu, memetik Berita Harian.

Suhaimi, 61, adalah pemegang Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan dari City University, Bellevue, Washington, Amerika Syarikat dan Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan dari Portland State University, Portland, Oregon, Amerika Syarikat.

Beliau pernah menyandang beberapa jawatan penting dalam bidang penyiaran dan kewartawanan termasuk sebagai Ketua Pegawai Eksekutif dan Ketua Pengarang Astro Awani pada 2017 dan Pengerusi Bernama pada 2020.