Bekas setiausaha peribadi dedah wang yang digunakan Syed Saddiq bukan milik parti Bersatu

Bekas setiausaha peribadi dedah wang yang digunakan Syed Saddiq bukan milik parti Bersatu

 

Wang yang dikeluarkan oleh Syed Saddiq dari akaun Armada Bumi Bersatu Enterprise (ABBE) bukanlah milik parti Bersatu.

Perkara itu didedahkan oleh bekas setiausaha peribadinya, Siti Nurul Hidayah sewaktu menjadi saksi di mahkamah, semalam.

Menurutnya, wang itu adalah hasil kutipan dana sewaktu Ahli Parlimen Muar itu menjadi calon Bersatu dalam PRU ke-14 lalu.

Katanya, ‘Team Saddiq’ membuat keputusan untuk menganjurkan majlis kutipan dana kerana tidak mendapat bantuan daripada Bersatu.

“Team Saddiq berbincang dan merancang mengadakan dua majlis meraih dana iaitu Makan Amal Muo dan Fund Raising Battle for Johor.

“Adalah tidak wajar untuk YB (Syed Saddiq) menggunakan akaun peribadi beliau bagi mengumpul dana,” katanya.

Hasil perbincangan itu, wang yang dikumpulkan kemudian disalurkan ke akaun Maybank perniagaan milik ABBE.

Hidayah adalah saksi pembelaan pada hari keempat prosiding membela diri Syed Saddiq yang berdepan dengan empat pertuduhan.

Beliau didakwa bersubahat dengan Penolong Bendahari Armada Bersatu melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana RM1 juta.

Syed Saddiq juga didakwa menyalahgunakan harta untuk diri sendiri, iaitu wang RM120,000 dari akaun milik ABBE.

Bekas Ketua Armada Bersatu itu juga berdepan dengan dua pertuduhan melibatkan diri dalam aktiviti penggubahan wang haram.