Bekas ustazah didakwa pukul ustazah sampai parah kerana lelaki

Bekas ustazah didakwa pukul ustazah sampai parah kerana lelaki

 

Seorang bekas guru Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas tuduhan mencederakan guru wanita lain sehingga parah, tahun lalu.

Tertuduh, Nurul Hidayah Khairuddin, 24, yang masih bujang membuat pengakuan itu sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Mazana Sinin.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja mencederakan sehingga parah ke atas Nurul Nadirah Ahmad Ropei, 24, di dalam sebuah kelas Sekolah Rendah Agama JAIM Taman Bukit Rambai, Melaka, pada jam 2.40 petang, 28 September 2022.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara sehingga tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Difahamkan, kejadian dikatakan berlaku selepas tertuduh berang mangsa memfitnah dirinya dengan memberitahu kepada guru besar sekolah berkenaan bahawa dia keluar berduaan dengan lelaki lain.

Pergaduhan itu berlaku di hadapan murid-murid tahun dua di sekolah berkenaan dengan kedua-duanya saling menarik tudung dan memukul antara satu sama lain.

Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, J. Banusha mencadangkan jaminan RM3,000 dikenakan terhadap tertuduh.

Wanita itu yang diwakili Peguam Mohd. Fahmy Mohd. Sulaiman bagaimanapun merayu agar jaminan rendah diberikan dengan alasan dia telah diberhentikan selepas kejadian itu dan mempunyai enam beradik dengan empat daripadanya masih bersekolah.

Selepas mendengar rayuan kedua belah pihak, mahkamah kemudian membenarkan jaminan sebanyak RM3,000.

Mahkamah menetapkan 13 Mac ini sebagai tarikh sebutan semula kes.