Belai ular sawa berdekatan kucing, persatuan haiwan Malaysia minta Aaron Aziz lebih sensitif

Belai ular sawa berdekatan kucing, persatuan haiwan Malaysia minta Aaron Aziz lebih sensitif

Malaysia antara negara yang rakyatnya paling suka membela kucing. Jadi, tidak hairanlah jika ada berita atau insiden yang melibatkan haiwan ini, pasti menjadi tumpuan.

Baru-baru ini, pelakon Aaron Aziz menerima kecaman dan kritikan orang ramai apabila bertindak meletakkan seekor ular sawa di atas sangkar yang berisi beberapa ekor anak kucing menerusi video live di TikTok.

Tindakan tersebut membuatkan Persatuan Haiwan Malaysia (PHM) terpanggil untuk menegur pelakon terbabit yang merasakan beliau tidak sensitif dan peka dengan persekitaran.

Pihak PHM menyatakan bahawa perbuatan tersebut akan mengakibatkan trauma terhadap anak-anak kucing itu.

 

“Aksi meletakkan ular sawa berdekatan kucing walau dalam keadaan bersangkar boleh menyebabkan kucing ketakutan melampau memandangkan ular dan kucing adalah dua entiti pemangsa dan mangsa.

“Akibatnya kucing akan mengalami tekanan dan trauma melampau kerana berasa terancam apabila melihat dan bau musuh berdekatan,” katanya.

Dalam pada itu, pihak PHM juga menyatakan Akta Kebajikan Haiwan 2015 melindungi haiwan domestik daripada didedahkan dengan bahaya dan ketakutan melampau.

Malah, perlu mempunyai lesen untuk memiliki haiwan liar dan mengadakan persembahan atau tayangan umum sama ada di jalanan atau media sosial seperti yang digariskan dalam Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010.

Aaron Aziz perjelas situasi sebenar

Menerusi perkembangan lain, Aaron menjelaskan bahawa tindakannya memegang haiwan reptilia itu hanya sekadar lakonan dan ada pakar haiwan yang mengawasi persekitaran ketika itu.

Aaron menegaskan bahawa anak-anak kucing terbabit tidak mengalami trauma seperti yang didakwa dan dia sendiri memelihara kucing di rumah tidak tergamak melihat haiwan itu mengalami kesan trauma.

Pun begitu, video penjelasan yang dimuat naik Aaron bagaimanapun telah pun dipadam.