Belanjawan 2023: Pembangkang kecewa tak dapat peruntukan dari kerajaan

Belanjawan 2023: Pembangkang kecewa tak dapat peruntukan dari kerajaan

 

Ahli Parlimen dari Perikatan Nasional (PN) membidas kerajaan berikutan tiada peruntukan diberikan kepada ahli parlimen pembangkang dalam Belanjawan 2023.

Ahli Parlimen Arau, Shahidan Kassim berkata, ahli parlimen pembangkang sepatutnya mendapat peruntukan yang adil dan sama rata seperti ahli parlimen kerajaan kerana ia merupakan wang rakyat.

“Kami wakil rakyat, kami menang pilihan raya, kenapa hak kami dinafikan? Kami tak dapat peruntukan. Ahli-ahli Parlimen daripada kerajaan dapat peruntukan, kami tak dapat. Kenapa tak dapat?

“Dalam dunia ini tak kira oposisi, tak kira kerajaan, peruntukan ahli parlimen dibagi sebab ini ialah peruntukan rakyat.

“Kalau kita nak hukum oposisi mansuhkan oposisi. Tidak perlu oposisi di parlimen ini.

“Kami bukan minta duit poket, kami minta duit rakyat itu diberi sama rata,” katanya kepada media selepas menteri kewangan Anwar Ibrahim membentangkan Belanjawan 2023 hari ini.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Kota Bharu, Takiyuddin Hassan menggesa Anwar mematuhi manifesto Pakatan Harapan, yang berikrar memberikan peruntukan sama rata kepada semua ahli parlimen merentasi jalur politik.

Daripada RM388.1 bilion belanjawan yang diumumkan Anwar hari inin, hampir tiga perempat daripadanya (RM289.1 bilion) diperuntukkan untuk perbelanjaan operasi dan RM99 bilion untuk perbelanjaan pembangunan.

Shahidan berkata tanpa peruntukan kepada ahli parlimen pembangkang, mereka pastinya tidak akan dapat memberikan perkhidmatan terbaik untuk rakyat.

“Sekarang ini kita lihat, duit rakyat telah diberi dengan tidak adil. Ahli parlimen kerajaan dapat peruntukan, kami satu sen pun tak dapat.

“Rakyat tak faham bahawa saya tidak ada peruntukan. Mereka memohon pelbagai pertolongan, minta bantuan, dan juga lain-lain (bantuan) tapi dalam keadaan kami tertekan sebab kami tidak ada peruntukan,” katanya.

Shahidan berkata ahli parlimen pembangkang akan membangkitkan isu mengenai peruntukan berkenaan ketika perbahasan di Dewan Rakyat Isnin ini.

Sementara itu, Wan Ahmad Fayhsal juga berkongsi nada yang sama dan meluahkan rasa kecewa terhadap kerajaan PH kerana gagal menunaikan janji dalam manifesto pilihan rayanya.

“Sebagai seorang reformis seperti Anwar, beliau sepatutnya berlaku adil dalam perkara ini.

“Malah dalam manifesto PH, ia mengatakan peruntukan sama rata untuk semua ahli parlimen tetapi tiada apa-apa,” kata ketua Pemuda PN itu ringkas.

Dalam pada itu Wan Ahmad berkata kerajaan tidak mempunyai mekanisme yang jelas untuk mencari sumber pendapatan baru.