Belanjawan PN berjaya, kredibiliti Anwar dipersoal

Belanjawan PN berjaya, kredibiliti Anwar dipersoal

Pada 23 September, presiden PKR Anwar Ibrahim mendakwa bahawa dia telah memperoleh sokongan ahli parlimen yang “kuat dan meyakinkan”.

Ramai yang dilihat tidak yakin dengan dakwaan itu, memandangkan barisan pembangkang sendiri berpecah, yang seterusnya menimbulkan spekulasi bahawa Anwar harus bergantung pada sokongan beberapa ahli parlimen Umno sekiranya dakwaannya benar.

Dalam situasi ini, tumpuan orang ramai terhadap Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2021 adalah apakah Anwar akan menggunakan Parlimen sebagai pentas untuk akhirnya membuktikan sokongan yang dimilikinya, seperti yang dilakukan di Perak.

Terdapat ketegangan ketika Anwar, sebagai pemimpin pembangkang, memerintahkan ahli parlimen Pakatan Harapan untuk tidak melakukan undi belah bahagi di peringkat dasar, menyebabkan banyak anggota parlimen dikecam.

Ketika undian peringkat jawatankuasa pula, beberapa anggota parlimen kerajaan tidak hadir, yang menimbulkan spekulasi kemungkinan mereka akan beralih sokongan.

Ketika RUU itu dibawa ke bacaan ketiga dan terakhir hari ini, 111 daripada 220 ahli parlimen, atau 50.45 peratus menyokong.

Di pihak pembangkang, 108 anggota parlimen membantah. Ini adalah jumlah undi tertinggi dimiliki pembangkan sepanjang pembentangan Belanjawan 2021.

Tengku Razaleigh Hamzah (BN-Gua Musang) tidak hadir semasa pengundian.

Kini, setelah Belanjawan PN berjaya melepasi undian, kredibiliti Anwar mula dipersoal kemungkinan akan menyebabkan pembangkang mempertikai sama ada dia masih layak memimpin barisan pembangkang.

Ujian keyakinan pada Anwar

Setelah memerintahkan anggota parlimen pembangkang untuk tidak menyokong undi belah bahagi di peringkat awal, ahli parlimen yang marah berdepan dengan Anwar.

Dalam pertemuan itu, Anwar dikatakan secara sukarela menawarkan diri untuk mengundurkan diri sebagai ketua pembangkang jika dia tidak dapat membuktikan majoriti.

Tarikh akhir untuk Anwar membuktikan majoriti tamat dua minggu lalu. Namun, tidak jelas apakah tawaran meletakkan jawatan itu dianggap serius.

Mereka yang tidak tahu mengenai tawaran peletakan jawatan Anwar dalam pertemuan itu mengatakan bahawa beberapa ahli parlimen telah berusaha meyakinkannya sebaliknya.

 

Jawatan ketua pembangkang dianggap penting. Ia dinyatakan dalam Aturan Mesyuarat 4A. Parlimen memberi pejabat dan kakitangan untuk ketua pembangkang, yang tugasnya adalah untuk menyelaraskan pembangkang bagi agar dapat menyediakan semak dan imbang yang mencukupi.

Walaupun kebanyakan tidak menyangka Anwar akan berjaya membuktikan majoriti, dakwaannya yang dibuat secara terbuka – masing-masing pada 23 September dan 13 Oktober – telah menimbulkan keraguan sama ada Anwar mempunyai kredibiliti untuk memegang jawatan ketua pembangkang.

Ahli Parlimen boleh memilih pemimpin pembangkang baru jika mereka mahu, sebelum parlimen ditangguhkan pada hari Khamis.

Kegagalan Anwar membuktikan majoriti juga mungkin menyebabkan dia dicabar sebagai presiden PKR ketika pemilihan parti itu diadakan tahun depan.

Pada 2018, Anwar memenangi kerusi tersebut tanpa bertanding walaupun kubu lawan yang diketuai oleh timbalannya ketika itu, Mohamed Azmin Ali menyapu sebahagian besar jawatan.

Sesiapa yang dilantik sebagai presiden PKR berikutnya akan mempunyai kawalan ke atas blok kedua terbesar di bangku pembangkang dan akan diberi nama sebagai calon perdana menteri ketika pilihan raya akan datang.

PKR ketika ini tidak kekurangan calon pengganti, seperti naib presiden Nurul Izzah Anwar dan setiausaha agung Saifuddin Nasution.

Muhyiddin selamat

Bagi Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin, kemenangannya dalam meluluskan belanjawan hari ini, walaupun tipis, akan memberi sedikit ruang untuk bernafas, sekurang-kurangnya untuk jangka masa terdekat.

Ini kerana sebarang percubaan untuk menyingkirkannya, paling tidak pada tahun berikutnya, tidak lagi dapat dilakukan melalui Dewan Rakyat.

Parlimen tidak perlu bersidang hingga April, dan ketika itu terjadi, speaker Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun telah menjelaskan bahawa dia tidak akan membiarkan usul undi percaya Muhyiddin dibentangkan jika tidak disokong oleh kerajaan.

Ini bermakna satu-satunya cara untuk mengalahkan Muhyiddin di Dewan Rakyat adalah melalui undi belanjawan dan yang berikutnya, paling awal, adalah pada Oktober 2021.

Belanjawan tersebut dianggap sebagai undi keyakinan kerana kerajaan tidak akan dapat berfungsi jika peruntukannya tidak dipersetujui.

Setelah berbulan-bulan berusaha menangkis ancaman Anwar untuk menyingkirkannya sebagai perdana menteri, tumpuan kini kembali pada Anwar sama ada dia akan mampu melepasi ujian keyakinan daripada pembangkang.

Namun, Muhyiddin belum sepenuhnya boleh menarik nafas lega. Dengan hanya 111 ahli parlimen yang menyokongnya, dengan hanya dua ahli parlimen beralih sokongan, sudah cukup menjatuhkan kerajaan.

Gerakan politik seperti itu perlu mempunyai akuan bersumpah dan mampu meyakinkan Yang Di-Pertuan Agong.

Pada masa itu, pilihan raya umum mungkin telah diadakan.

Muhyiddin telah menyatakan bahawa dia merancang untuk mengadakan pilihan raya umum segera setelah pandemik Covid-19 reda dan penduduk Malaysia diharapkan akan diberi vaksin seawal Februari tahun depan.

Sumber: https://m.malaysiakini.com/news/555372?utm_source=dlvr.it&utm_medium=facebook&fbclid=IwAR0NSMTbUx7w2CjD–BbkGAUyihGb0CsoLiODRpzJ3mqUeioGz9NtDAuKH4