Beli tiket Coldplay, Ketua Pemuda PAS Kelantan tegur Khairul Aming

Beli tiket Coldplay, Ketua Pemuda PAS Kelantan tegur Khairul Aming

 

TEMPAHAN TIKET COLDPLAY, SURAT TERBUKA KEPADA KHAIRUL AMING

Kehadapan saudaraku Khairul Aming,

Saya layangkan surat ini sebagai seorang saudara seagama, apa lagi kita lahir di negeri yang sama. Atas semangat itu saya merasa terpanggil untuk memberikan teguran atas posting saudara yang berjaya membeli tiket Coldplay.

Pada saya seorang public figure yang bersih seperti saudara tidak seharusnya secara tidak langsung mempromosikan konsert dari artis yang lantang mempromosikan LGBT.

Alang kepalang kesedihan, terguris hati saya apabila membaca posting twitter saudara yang bersungguh menempah tiket. Pastinya siapa saya untuk menghalang keinginan orang lain tetapi suka saya menitipkan pesan lantaran saudara adalah saudara seagama saya.

Saya mahu mengajak saudara untuk memikirkan kesan akibat budaya LGBT yang akan dibawa bersama dalam konsert Coldplay nanti. Sanggupkah saudara menjadi salah seorang penyumbang kepada sebaran budaya tidak sihat terutama kepada anak-anak muda?

Saya percaya di usia sekarang saudara telah matang dalam membuat pertimbangan. Apa lagi ingin saya katakan saudara tidak sepatutnya terlibat dalam kempen secara tidak langsung begitu kerana saudara adalah ikutan ramai anak muda.

Saya doakan saudara akan lebih berjaya dengan apa yang telah saudara usahakan dan terpaling saya doa adalah agar saudara membetulkan khilaf yang kesan akibatnya tidak terjangkau akal terhadap anak muda negara.

Salam hormat.

Mohamad Kamal Mohamed
Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan.

26 Syawal 1444 / 17 Mei 2023