Bella hanya jelaskan situasi sebenar, Aliff pertahan tindakan isteri dedah sikap Sophia Albarakbah

Bella hanya jelaskan situasi sebenar, Aliff pertahan tindakan isteri dedah sikap Sophia Albarakbah

 

Pelakon lelaki utama drama Ku Akad Kau Dengan Bismillah, Aliff Azizi hari ini tampil mempertahankan tindakan isterinya yang dianggapnya cuba menjelaskan isu sebenar yang melanda antara dirinya dengan palkon wanita utama drama tersebut, dan bukannya cuba memperbesarkan isu tersebut.

Dia bercakap demikian di hadapan kira-kira 20 media yang hadir mempromosikan drama arahan terbaru Osman Ali yang bakal ke udara dalam slot Akasia TV3 jam 7.00 petang bermula Februari ini bagi menggantikan siri drama Kerana Cinta Itu Ada.

Walaubagaimanapun, pelakon Sophia Albarakbah yang sepatutnya muncul bersama aktor Aliff Aziz di Park 28, Mutiara Damansara itu bagaimanapun gagal memunculkan diri.

Kegagalan Sophia, 30, hadir ke acara itu dipercayai disebabkan kontroversi yang mengaitkan namanya sebagai pelakon yang mengakui menyukai Aliff kepada isterinya, Bella Astillah baru-baru ini.

Sementara itu, pihak media dimaklumkan oleh pihak penerbit iaitu Nuansa Sdn. Bhd., pelakon itu sepatutnya hadir namun tidak dapat berbuat demikian ekoran pertukaran jadual penggambaran.

Memetik Mstar, wakil syarikat tersebut dikenali sebagai Farid berkata, Sophia perlu menghabiskan babak drama lakonannya sebelum berangkat ke Jakarta, Indonesia pada Khamis atas urusan kerja.

Sophia dikatakan sedang sibuk menjalani penggambaran.

“Terlebih dahulu saya memohon maaf kerana heroin drama Ku Akad Kau Dengan Bismillah tidak dapat hadir dan sedang menjalani penggambaran di Subang, Selangor.

“Sophia terpaksa menyelesaikan penggambaran yang masih berbaki sebelum dia berangkat ke Jakarta, Indonesia esok.

“Saya faham perkara ini tidak sepatutnya berlaku namun babak membabitkan Sophia perlu teruskan juga demi memastikan kelancaran penggambaran drama ini,” katanya.

Aliff minta Sophia tampil membuat penjelasan.

Susulan itu, Aliff turut meminta Sophia untuk tampil menjernihkan kemelut yang sedang melanda dan membabitkan dirinya.

Terdahulu, penyanyi Bella mendakwa seorang pelakon wanita yang turut berlakon bersama suaminya, Aliff berulang kali menghantar mesej dan membuat panggilan kepadanya.

Malah, pelakon berkenaan sanggup menghantar mesej kepada Bella dan mengakui suka kepada Aliff.

Bagaimanapun, tanpa menyebut nama siapa pelakonnya, nama Sophia dipetik dan akaun Instagram miliknya turut menjadi sasaran netizen yang meninggalkan komen mengecam kerana terpalit dalam rumah tangga Aliff dan Bella.