Belum dapat dana dari kerajaan pusat, kerajaan Terengganu tangguh pembayaran bantuan i-Perantau RM300

Belum dapat dana dari kerajaan pusat, kerajaan Terengganu tangguh pembayaran bantuan i-Perantau RM300

 

Kerajaan Terengganu di bawah pimpinan PAS memohon maaf di atas kelewatan pengagihan bantuan i-Perantau yang dijanjikan kepada anak jati yang menetap di luar negeri, berkelayakan menerima bantuan itu.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional Terengganu, HAnafiah Mat menjelaskan, bantuan wang tunai RM300 itu sepatutnya diagihkan kepada penerimanya pada Syawal lalu.

Namun Hanafiah menjelaskan bantuan itu tidak dapat disalurkan awal kerana pihaknya masih menunggu dana daripada Kerajaan Persekutuan.

“Bantuan i-Perantau yang bertujuan meringankan persiapan menyambut Aidilfitri buat anak perantau tersebut, melibatkan peruntukan keseluruhan RM1.9 juta.

“Saya mohon maaf bantuan tersebut masih belum dapat diagihkan lagi, ekoran kelewatan penerimaan Dana Khas Kerajaan Persekutuan (DKKP) daripada Kerajaan Pusat,” katanya memetik laporan dari Kosmo! Online.

Dalam pada itu, Hanafiah memberi jaminan bantuan RM300 itu akan bayar kepada penerima bantuan itu selepas saja Kerajaan Terengganu menerima DKKP.

Menurut laporan Kosmo! Online, Kerajaan Terengganu sebelum ini juga lewat menyalurkan bantuan RM1,000 kepada sebahagian mangsa banjir kerana kekurangan dana.

Terdahulu, video Hanafiah memohon maaf di atas kegagalan Kerajaan Terengganu membayar bantuan itu tular di media sosial.