Belum pun lagi jadi PM, Mat Maslan dah berani ‘rasuah’ MP dapatkan undi

Belum pun lagi jadi PM, Mat Maslan dah berani ‘rasuah’ MP dapatkan undi

Parlimen akan mula bersidang Isnin ini.

Untuk rekod, tuduhan membuat sogokan terbuka kepada MP, terutama daripada blok pembangkang, pernah dilontarkan terhadap bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika beliau membuat tujuh tawaran bagi mengadakan kerjasama rentas parti antara Kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan parti lain.

Pada 13 Ogos lalu, Muhyiddin antara lain mengumumkan peruntukan RM300,000 sama rata kepada Ahli Parlimen dan Senator bagi tujuan pembelian bakul makanan, melibat urus pembangkang dalam memerangi Covid-19, dan saraan serta kemudahan bertaraf Menteri Kanan kepada Ketua Pembangkang.

Namun, tujuh tawaran itu – yang diulang semula Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam – ditolak oleh pembangkang dengan antara alasannya mereka melihat seperti memberi sogokan.

Malah, Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi – ketua blok 15 MP yang menarik sokongan terhadap Kerajaan PN dan Muhyiddin – ketika menolaknya menyifatkan tawaran Ahli Parimen Pagoh itu sebagai sogokan terbuka.

Namun, hari ini, Setiausaha Agung UMNO itu pula membuat 20 tawaran kepada MP pembangkang dan Bebas bagi mendapatkan sokongan untuk menjadi Timbalan Speaker Dewan Rakyat, apabila sidang Parlimen bermula Isnin ini.

Antara ‘sogokan terbuka’ dikemukakan oleh Ahmad – MP yang bersama Zahid menarik sokongan kepada Kerajaan PN dan Muhyiddin – ialah memperuntukkan RM60,000 setahun dengan kiraan RM5,000 sebulan kepada MP pembangkang dan Bebas untuk menguruskan Pusat Khidmat di kawasan masing-masing. Peruntukan itu dianggap mencukupi untuk elaun dua staf dan sewa sebuah pejabat.

Ahmad juga menawarkan kepada setiap MP penyokong kerajaan dan pembangkang diberi peruntukan khas untuk sesi libat urus dengan rakyat dan pemegang taruh di kawasan bagi mendapatkan pandangan untuk isu pembangunan, kebajikan rakyat dan Rang Undang-Undang baru. Tetapi beliau tidak menyatakan berapa jumlah peruntukan itu.

Setiausaha Agung UMNO itu juga mencadangkan agar Ahli Jawatankuasa Pilihan Khas diberi elaun kehadiran mesyuarat atau apa-apa elaun khas dengan jumlah yang kecil namun munasabah dengan kekerapan mesyuarat yang sesuai.

Untuk rekod, Muhyiddin yang dilantik menjadi Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) bertaraf Menteri menolak sebarang imbuhan, sebaliknya mahu bekerja memulihkan negara dan membantu rakyat secara sukarela.

Pada masa sama Ahmad juga menyokong tujuh cadangan kerajaan untuk transformasi Parlimen sebagaimana diumumkan Ismail Sabri semalam, sedangkan itulah juga tawaran yang dibuat oleh Muhyiddin tetapi ditolak oleh UMNO dan pembangkang.

Apapun, semua 20 tawaran yang dibuat oleh Setiausaha Agung UMNO itu adalah sogokan terbuka untuk meraih undi MP pembangkang dan penyokong kerajaan, bagi membolehkan dirinya – yang sedang berdepan dua tuduhan di Mahkamah Tinggi – dilantik menjadi Timbalan Speaker Dewan Rakyat.

Setiausaha Agung UMNO itu kini berdepan dua pertuduhan gagal mengisytiharkan RM2 juta yang diterima daripada Najib kepada LHDN dan memberi penyataan palsu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Pada 24 Ogos lalu, Ahmad, 55, pertama kali membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh selepas mahkamah membenarkan permohonannya untuk memindahkan kes berkenaan dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi pada 13 Julai lalu.

Mahkamah menetapkan 29 September ini untuk pengurusan kes.

Bagi pertuduhan pertama, Ahmad didakwa telah melibatkan diri dalam pengubahan wang haram dengan cara tidak melaporkan pendapatan sebenar di dalam Borang Nyata Cukai Pendapatan Bagi Tahun Taksiran 2013 yang bertentangan dengan Seksyen 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967.

Bekas Timbalan Menteri Kewangan itu dituduh melakukan perbuatan berkenaan dengan tidak mengisytiharkan pendapatan yang diterima daripada Najib berjumlah RM2 juta melalui sekeping cek AmIslamic Bank Berhad bertarikh 27 November 2013, dan cek itu ditunaikannya sendiri pada hari sama.

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di LHDN, Cawangan Duta, Kompleks Pejabat Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim pada 30 April 2014.

Pertuduhan itu mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM5 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Ahmad juga dituduh memberi penyataan palsu ketika percakapannya dirakam mengikut Seksyen 32 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram oleh pegawai penyiasat SPRM di bilik sidang media Bangunan Parlimen, antara jam 2.45 petang hingga 3.30 petang pada 4 Julai 2019.

Pertuduhan mengikut Seksyen 32(8)c) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM3 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Setiausaha Agung UMNO itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan berkenaan.

Sumber – Agenda Daily