Belum pun menampakkan hasil yang diinginkan, kerajaan sudah berkira-kira longgarkan SOP PKP

Belum pun menampakkan hasil yang diinginkan, kerajaan sudah berkira-kira longgarkan SOP PKP

Kerajaan akan menilai semula pelaksanaan ketat prosedur operasi standard (SOP) sekatan penuh pergerakan di bawah perintah kawalan pergerakan (PKP) 3.0 yang berkuat kuasa sejak 1 Jun lalu, jika jumlah jangkitan harian Covid-19 turun bawah 4,000, kata Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob.

Bagaimanapun katanya itu tidak bermakna kerajaan akan menamatkan PKP.

“Saya dimaklumkan Menteri Kesihatan Dr Adham Baba dan Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah bahawa apabila sampai ‘level’ 4,000 kes, kita akan ‘review’ balik PKP ini.

“Bukan bermakna kita tamatkan PKP, tapi mungkin kita ‘review’ balik dari segi SOP yang mana boleh kita longgarkan sedikit,” katanya pada sidang media hari ini.

Ismail Sabri yang juga Menteri Pertahanan, sebelum itu melawat Hospital Medan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Hospital Sultanah Aminah (HSA), di sini.

Beliau juga berkata KKM akan membuat syor mengenai langkah yang boleh diambil sekiranya angka jangkitan harian turun ke paras 4,000 kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) pada mesyuarat khas akan datang.

Ismail Sabri berkata vaksinasi rakyat bagi mencapai imuniti kelompok atau sekurang-kurangnya 60% rakyat negara ini divaksin menjadi fokus utama kerajaan ketika ini, sebelum pelan keluar daripada pelaksanaan PKP secara keseluruhan dapat dilaksanakan.

Mengulas mengenai Hospital Medan ATM di HSA, beliau berkata hospital yang dijangka beroperasi pada 17 Jun itu yang keenam dibina dengan kerjasama KKM bagi membantu menampung kapasiti hospital dan unit rawatan rapi (ICU) di Johor Bahru.

Sementara itu, Dr Adham yang turut hadir, berkata Hospital Medan ATM di HSA akan mempunyai empat katil ICU dan 60 katil wad untuk pesakit Covid-19 kategori tiga dan empat.

Setakat 11 Jun lepas, kadar penggunaan katil wad di hospital khusus Covid-19 di Johor ialah 92% iaitu 1,095 daripada 1,186, manakala penggunaan katil ICU di enam hospital pakar di Johor iaitu HSA, Hospital Sultan Ismail, Kluang, Batu Pahat, Muar dan Segamat melebihi 70%.

Sumber: https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/06/13/nilai-semula-sop-jika-kes-covid-19-turun-bawah-4000/