Belum pun reda isu penyelewengan LCS, muncul pula isu baru misteri penyelesaian saman antara MAHB dengan AirAsia

Belum pun reda isu penyelewengan LCS, muncul pula isu baru misteri penyelesaian saman antara MAHB dengan AirAsia

Mohon MAHB Bagi Pencerahan

1. Pada 10 Ogos, portal berita perniagaan https://www.theedgemarkets.com melaporkan bahawa Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) dan Capital A Bhd (Capital A) masing-masing memutuskan untuk menggugurkan tindakan undang-undang ke atas satu sama lain.

2. Tindakan undang-undang itu asalnya diambil oleh anak syarikat MAHB, Malaysia Airports (Sepang) Sdn Bhd (MASSB) dan AirAsia Aviation Group Ltd (AirAsia Group). Sejak itu Kumpulan AirAsia telah berubah menjadi Capital A.

3. Dalam kenyataan bersama pada 10 Ogos itu, MAHB mengesahkan yang ia tidak ada lagi sebarang tindakan undang-undang atau tuntutan terhadap AirAsia Bhd dan AirAsia X Bhd. Serentak itu, Capital A berkata dua anak syarikatnya itu telah menarik balik tindakan undang-undang ke atas MAHB.

4. Bunyi macam “kautim”. Jadi saya nak mintalah sedikit penjelasan. Adakah ini juga bermakna segala masalah MAHB dengan Capital A, umpamanya dakwaan hutang penggunaan lapangan terbang, telah selesai juga?

5. Kita pernah baca berita tuduh menuduh kononnya Capital A berhutang dengan MAHB RM85 juta. Banyaklah dolak-dalik di kedua-dua belah pihak.

6. Nak tanya sahabat lama saya Pengerusi MAHB, Dr Zambry Abd Kadir, betulkah tahun lepas MAHB “ampunkan” RM78 juta daripada hutang itu?

7. MAHB ni boleh kata milik negara dan rakyat jelata juga sebab kira-kira 60 paratus sahamnya dikuasai bersama oleh Khazanah Nasional Berhad, KWSP, PNB dan KWAP.

8. Harap-harap tak betullah yang MAHB bermurah hati bagi “debt forgiveness” berpuluh-puluh juta ringgit kepada tauke Capital A, Tony Fernandes, sedangkan Mak Cik Kiah yang jual pisang goreng kena bayar balik hutang yang tak berapa ringgit itu.

9. Ikut laporan tahunan Capita A bagi tahun kewangan 2021 yang dipetik oleh portal berita Malaysianow, Fernandes dan rakan kongsi dia, Kamarudin Meranun, terima upah lebih RM14 juta seorang bagi tahun kewangan berkenaan.

10. Minta Dr Zambry dan pengurusan MAHB bagi penjelasan dan pencerahan macam yang dijanjikan dalam kenyataan dasarnya yang berbunyi: “Malaysia Airports Holdings Berhad (“MAHB” or “the Company”) is committed to the highest standards of honesty, openness and accountability. In line with that commitment we expect employees, and others that we deal with, who have genuine concerns about any aspect of MAHB’s operations to come forward and voice those concerns.”

Wallahuaklam.

Sumber – FB A. Kadir Jasin