Benar pengeluaran khas KWSP, Ismail dan Zafrul tewas lagi di tangan Najib

Benar pengeluaran khas KWSP, Ismail dan Zafrul tewas lagi di tangan Najib

Kerajaan bersetuju membenarkan satu lagi pusingan pengeluaran khas Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak RM10,000, kata Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.

“Kerajaan mendengar, mengkaji dan meneliti permintaan daripada semua pihak untuk mengeluarkan caruman KWSP.

“Justeru hari ini kerajaan bersetuju membenarkan pengeluaran khas KWSP sebanyak RM10,000,” katanya dalam sidang media khas, seperti dilaporkan portal FMT.

Ismail berkata, keputusan itu dibuat susulan masih ada dalam kalangan Keluarga Malaysia terkesan dari segi ekonomi, hilang pendapatan dan sedang membina semula kehidupan.

Beliau berkata, penjelasan lanjut mengenai pengeluaran khas itu akan dibuat oleh Kementerian Kewangan dan KWSP.

Katanya, ia merupakan satu keputusan sukar kerana melibatkan simpanan hari tua rakyat dan pengeluaran khas itu adalah jalan tengah dalam mengimbangi antara keperluan mendesak hari ini.

Sehubungan itu, Perdana Menteri mengingatkan pencarum dapat mengekalkan simpanan mereka kecuali keadaan benar-benar mendesak.

“Saya berharap pencarum membuat pertimbangan sewajarnya sebelum melakukan pengeluaran demi masa depan,” katanya.

Kerajaan sebelum ini membenarkan pengeluaran caruman KWSP melalui tiga skim iaitu i-Lestari, i-Sinar dan i-Citra berjumlah RM101 bilion, melibatkan 7.34 juta pencarum sejak pandemik Covid-19 melanda negara dua tahun lalu.

Sementara itu, Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz dalam kenyataan berkata, perincian mengenai butir pengeluaran khas berkenaan akan dimaklumkan KWSP dalam masa terdekat.

Katanya, KWSP juga akan mengumumkan langkah perlu bagi menangani isu dana persaraan pencarum yang berkurangan.