Benarkah logo Bank Negara Malaysia ada kaitan dengan Firaun?
Korang baca je tajuk artikel mesti pelik en, apa pasal pula la tiba-tiba Bank Negara Malaysia (BNM) dikaitkan dengan firaun ni, yang bukan-bukan jela.
Ehh rilek lu, sabar, sebenarnya ada perkara menarik dan kelakar (bagi sesetengah pihak la) dengan kisah Bank Negara Malaysia (BNM) dengan firaun ni.
Korang lepas baca je artikel ni mesti pelbagai reaksi yang akan keluar kerana ia mengandungi unsur teruja, terkejut, terpegun dan seangkatan dengannya.
Baiklah, tahukah korang Bank Negara Malaysia dulu pernah dituduh Freemason kerana dituduh…
Logonya diinspirasikan daripada anjing firaun
Sebelum ini, terdapat pihak yang tidak bertanggungjawab menuduh logo Bank Negara Malaysia itu adalah diinspirasikan daripada anjing firaun iaitu Pharaoh Hound. Daripada sini, tercetuslah pelbagai teori-teori merepek mengenai Bank Negara Malaysia (BNM) ini.
“ROTHSCHILD & BANK NEGARA MALAYSIA
Cuba kita kaji lambang pada logo bank negara. Ramai yang kata kijang atau rusa, tetapi kijang dan rusa, ekornya tidak panjang. Cuba pula google images Pharaoh Dog, ia sama imej logo bank negara.
Logo Bank Negara kelihatan seperti Pharaoh Hound/ Pharaoh Dog/ Kelb tal-Fenek. Ada KEMUNGKINAN logo itu berasaskan Firaun kerana Pharaoh Hound itu juga adalah lambang kepada Mesir Kuno.
Dalam logo tersebut itu pula terdapat simbol matahari dan bulan. Untuk makluman semua, bulan dan matahari merupakan sembahan masyarakat pada zaman dahulu, atau pun lebih dikenali masyarakat yang menganut agama pagan (menyembah alam).
Masyarakat Mesir Purba telah dicatatkan menyembah matahari sebagai tuhan yang dikenali sebagai Amon-Ra (Tuhan Matahari bermata satu). Catatan ini sering ditemui melalui ukiran pada makam Firaun dan Pyramid.
Manakala anjing itu pula kelihatan sperti PharaohDog/Pharaoh Hound yg merupakan lambang kepada Mesir Kuno. Lambang anjing pada masyarakat mesir kuno juga melambangkan Dewa Anubis. Lambang ini sememangnya salah satu simbol identiti bagi pergerakan Freemason.” – dipetik dari syafiqbakrii Wattpad.
Apa perasaan korang lepas baca teori di atas ini? Mesti ada yang positif, negatif, rasa kelakar, ambil serious dan sebagainya. Macam mana diorang kata ia adalah dari firaun? Tengok post FB di bawah:
Mari kita bongkarkan satu per satu mengenai teori ini. Berdasarkan post FB kat atas ni, gambar dalam bulatan merah tu ternyata palsu sama sekali. Inilah gambar sebenar:
Selain itu, siapa kata anjing? Sebenarnya bukan anjing tapi kijang. Ayuh kita lihat sejarah logo BNM.
Tercetusnya idea logo BNM itu dari Gabenor Bank Negara Malaysia yang pertama, Tun Ismail Mohamed Ali. Beliau yang mencadangkan lambang kijang pada logo BNM. Motif ini berasal dari gambaran Kijang pada duit syiling emas Negeri Kelantan, yang merupakan antara duit syiling terawal Kesultanan Melayu.
Ia secara rasminya digunakan pada 1964. Setiap lambang mempunyai maksud sendiri iaitu matahari sebagai tanda kekuasaan manakala bulan melambangkan agama Islam (agama rasmi di Malaysia).
Duit Kijang dah lama digunakan sejak kurun ke-16 lagi
Memandangkan tadi kami ada cerita pasal logo kijang BNM berasal dari Duit Kijang Kelantan, mari kami kasi trivia sikit mengenainya. Duit Kijang ni memang banyak digunakan di negeri Cik Siti Wan Kembang ni. Apesal namanya Duit Kijang? Senang je, sebab depan duit tu ada lambang kijang. Katanya dah dikeluarkan sejak abad ke 16 lagi.
Kalau nak tahu, haiwan kijang ni dah sinonim dengan Kelantan. Tercetusnya lambang kijang ni apabila pedagang arab menghadiahkan seekor kijang kepada pemerintah wanita Kelantan iaitu Cik Siti Wan Kembang.
Cik Siti Wan Kembang sangat sayang dengan kijangnya. Sampaikan Cik Siti menitahkan agar duit Dinar emas yang ditempa mestilah diukir dengan motif kijang. Belakangnya juga ditulis Arab Malik al adil yang bermaksud ‘Raja yang Adil‘.