Bengang keputusan partinya sertai GTA, Hamidah Osman umum keluar Putra

Bengang keputusan partinya sertai GTA, Hamidah Osman umum keluar Putra

Naib Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Datuk Hamidah Osman mengumumkan keluar parti itu berkuat kuasa serta merta hari ini.

Menurutnya, keputusannya itu demi prinsip dan hilang kepercayaan terhadap Presiden dan kepemimpinan Putra yang bekerjasama dengan Tun Mahathir Mohamad dalam Gabungan Tanah Air (GTA).

Katanya, buat masa ini beliau tidak berhasrat untuk menyertai mana-mana parti politik.

“Saya berasa amat sedih dan kecewa dengan keputusan Presiden parti Putra untuk menyertai GTA dan bekerjasama dengan Tun Mahathir.

“Saya berpendapat hubungan ini tidak akan kekal lama kerana ini bukan gabungan yang ikhlas.

“Ia hanya merupakan ‘marriage of convenience’ dan saya tak tahu akhirnya nanti siapa yang guna siapa dan siapa yang kenakan siapa. 

“Datuk Ibrahim Ali (Presiden Putra) ingin menggunakan Tun Mahathir kerana beliau rasa Tun  mampu menyediakan ‘war chest’ atau dana pada beliau dan parti beliau.

“Tetapi siapa yang tak kenal betapa kedekutnya Tun terutamanya untuk dana politik,” katanya dalam sidang akhbar di sini, seperti dilaporkan Utusan Online.

Hamidah berharap tiada tohmahan yang bukan-bukan seperti sebelum ini kononnya beliau gila jawatan atau kecewa kerana tidak dapat jawatan.

“Saya meninggalkan semua parti yang saya sertai dalam kedudukan saya mempunyai jawatan yang penting dan besar.

“Dengan kesediaan saya meninggalkan semua jawatan dan kedudukan adalah bukti saya tidak gila jawatan,” katanya.

Menurutnya, setakat ini beliau tidak akan masuk mana-mana parti politik.

“Tetapi saya akan tetap meneruskan perjuangan Tanah Rizab Melayu di atas satu platform yang sesuai yang akan saya fikirkan nanti,” katanya.

Gagasan baharu parti politik yang ditubuhkan GTA disertai Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Parti Perikatan India Muslim Nasional (IMAN), Putra dan Parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa).