Bentuk kerajaan perpaduan baharu untuk selesai krisis politik negara, kata Mahfuz

Bentuk kerajaan perpaduan baharu untuk selesai krisis politik negara, kata Mahfuz

Parti Amanah Negara (Amanah) menolak Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan dalam masa terdekat, sebaliknya mencadangkan pembentukan kerajaan perpaduan baharu bagi menyelesaikan krisis politik negara.

Naib Presidennya, Datuk Mahfuz Omar berkata, ini kerana kerajaan perpaduan yang dicetuskan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin merupakan sebuah kerajaan yang gagal.

Menurutnya, Pakatan Harapan (PH) seharusnya diberikan peluang mengetuai kerajaan perpaduan baharu dengan mempelawa parti lain sebagai rakan gabungan.

“Tiada jalan keluar untuk selesaikan krisis politik ini selain Muhyiddin melepaskan jawatan. Kerajaan Perikatan Nasional (PN) semakin hilang sokongan. Terbaharu Ahli Parlimen Machang, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub bersama 12 bahagian UMNO Kelantan menarik diri menyokong kerajaan PN.

“Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah juga mempersoalkan keabsahan Muhyiddin sebagai perdana menteri dan UMNO Gua Musang memutuskan menolak sebarang kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu),” katanya ketika ditemui selepas majlis sumbangan pakaian dan beg sekolah sempena program ‘Back To School’ Parlimen Pokok Sena pada Ahad.

Mahfuz berkata, situasi terkini itu menyebabkan kerajaan PN hilang majoriti di Dewan Rakyat dengan hanya 110 ahli Parlimen daripada 222 menyokong Muhyiddin dan kerajaan PN.

“Dua ahli Parlimen telah meninggal dunia, iaitu Ahli Parlimen Batu Sapi di Sabah dan Ahli Parlimen Gerik di Perak, menjadikan jumlah ahli Dewan Rakyat 220 orang. Jumlah sokongan dimiliki Ahli Parlimen Pagoh itu sekarang 110 sahaja, iaitu bawah bilangan majoriti,” katanya.

Sehubungan itu, tegas Mahfuz, Muhyiddin seharusnya meletakkan jawatan bagi membolehkan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan melantik pengganti di kalangan ahli Parlimen yang memperoleh majoriti sokongan untuk membentuk kerajaan baharu.

“Kita perlukan kerajaan yang kukuh, tidak boleh lagi perbezaan tipis dengan dua atau tiga kerusi, kelak akan merosakkan masa depan negara. PRU15 tidak sesuai ketika ini, hanya pembentukan kerajaan baharu yang diperkenankan Seri Paduka Baginda dapat merungkai kemelut politik ini.

Berdasarkan kenyataan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim miliki sokongan majoriti ahli Parlimen, Yang di-Pertuan Agong boleh memanggil semula semua ahli Parlimen menghadap untuk dapatkan perakuan bersemuka dalam menentukan siapa layak dilantik sebagai perdana menteri,” katanya.

Mahfuz berharap ahli politik harus lebih rasional bertindak dalam keadaan negara masih menangani pandemik Covid-19.

“Kerajaan perpaduan itu perlu untuk gabungkan semua pihak bagi pastikan negara lebih stabil. Kalau berasaskan majoriti sahaja pun tak dapat selesaikan masalah sekiranya berlaku penarikan sokongan. Harus ada kesepakatan dan perjanjian tiada PRU dalam masa terdekat,’ katanya.

Tambah Mahfuz, kerajaan perpaduan sedia ada dibina berasaskan kepada pengkhianatan mandat rakyat menyebabkan ia goyah dan perlu kembali kepada kerajaan perpaduan yang mendapat mandat rakyat pada 2018.

Sumber: https://www.sinarharian.com.my/article/118450/BERITA/Politik/Tak-perlu-PRU15-sekarang-bentuk-kerajaan-perpaduan-baharu-selesai-krisis