Bentuk politik baru yang lebih aman dan damai untuk rakyat, Anwar dedah isi pertemuan dengan Agong
SEMUA parti bersetuju untuk bekerjasama dan memulakan politik baharu, demikian menurut Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika mengulas mengenai pertemuan antara ketua-ketua parti politik dengan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara, pada petang Selasa.
Menurut Anwar, keputusan itu dibuat secara konsensus selepas mengadakan pertemuan selama dua jam dengan Al-Sultan Abdullah.
Pertemuan tersebut turut disertai oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah selaku Timbalan Yang di-Pertuan Agong.
“Yang di-Pertuan Agong memulakan titah dengan kata-kata nasihat dan peringatan bahawa negara dalam kemelut politik dan harus bersatu hadapi Covid-19. Tetapi baginda beritahu tentang lunas Perlembagaan iaitu mencari calon ahli Parlimen yang dapat sokongan majoriti, namun bentuk politik harus berubah.
“Maknanya, yang menang jangan jadi seperti pernah berlaku ‘memakan’ yang kalah. Semua parti dengan semangat baru, muafakat baru bekerjasama untuk menangai Covid-19.
“Tiap ketua parti diminta menyampaikan pandangan, semuanya nampak ada satu persefahaman konsensus untuk hentikan politik lama yang melelahkan dan membosankan,” ujarnya kepada media selepas selesai menghadap sebentar tadi.
Tambah Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson, selain isu pelantikan calon Perdana Menteri baharu, Al-Sultan Abdullah dan timbalannya menekankan agar menggagaskan satu bentuk politik baru yang lebih aman dan damai untuk rakyat.
Anwar yang disertai Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu terdahulu dilihat keluar daripada pintu dua Istana Negara pukul 4 petang selepas dua jam menghadap Agong.
Sumber – MStar