Berang diduakan, wanita masak teman lelaki jadi beriani dan beri rakan makan

Berang diduakan, wanita masak teman lelaki jadi beriani dan beri rakan makan

 

Bayangkan anda penat bekerja tiba-tiba ada orang baik datang memberikan makanan percuma, siapa yang tidak teruja, bukan?

Malang sekali bagi sekumpulan buruh pembinaan ini, kelazatan hidangan Machboos (Beriani) yang dijamu kepada mereka rupanya mengandungi bahan ‘rahsia’.

Wanita berang teman lelaki mahu nikahi perempuan lain

Kisah ‘Beriani Manusia’ ini pernah mengejutkan rakyat Dubai sekitar tahun 2018 dahulu.

Seorang wanita warga Morroco ditangkap selepas melakukan jenayah serius atas motif tidak berpuas hati teman lelakinya menyatakan hasrat berkahwin dengan orang lain walhal mereka sudah bercinta selama 7 tahun.

‘Beriani Manusia’ dihidangkan kepada pekerja pembinaan

Untuk membeli peralatan memasak termasuklah pressure cooker dan mesin pengisar, dia sanggup menggadaikan segala barang kemasnya.

Wanita terbabit dipercayai telah ‘mengasingkan’ badan teman lelakinya satu persatu lalu dimasak menggunakan rempah-rempah.

Ia kemudiannya diagihkan kepada pekerja pembinaan yang didakwa sebagai rakan lelaki tersebut.

Tanpa mengesyaki apa-apa, mereka cuma makan seperti biasa.

Temui gigi dalam mesin pengisar & polis lakukan ujian DNA

Kehilangan lelaki itu selama beberapa bulan mengundang rasa pelik abangnya.

Tapi bila ditanya, si pelaku berkata tidak tahu dan kononnya sudah menghalau dari rumah.

Jiran perumahan sebenarnya mendengar bunyi pelik di tengah-tengah malam selain terhidu sesuatu.

Laporan polis dibuat lantas berjaya menemukan cebisan gigi yang tertinggal dalam mesin pengisar.

Pemeriksaan lanjut turut menjumpai bahagian jari yang dikatakan terkeluar daripada bungkusan plastik sampah.

Laporan mahkamah turut mendedahkan dia memberikan lebihan tulang kepada anjing untuk menghapus jejak.

Setelah mengaku bersalah, perempuan tersebut menjalani pemeriksaan psikiatri sebelum dihadapkan ke perbicaraan mahkamah.