Berang disamakan seperti badut McD, Sanusi beri amaran akan dedahkan siapa tokong dalam Liga M

Berang disamakan seperti badut McD, Sanusi beri amaran akan dedahkan siapa tokong dalam Liga M

Masih belum reda dengan isu ‘tokong’ yang dikeluarkan oleh Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Datuk Seri Sanusi Md Nor, kini beliau sekali lagi tampil untuk menegaskan pendiriannya sebelum itu walaupun dinafikan oleh pelbagai pihak.

Memetik laporan portal Semuanya Bola, Sanusi dakwa dirinya nyata berpendirian teguh kali ini untuk menolak budaya bola sepak negara yang dilihat seolah memberi kuasa penuh kepada seseorang individu berkuasa dalam mengatur sesuatu.

Jelas beliau lagi, perkataan ‘tokong’ itu ditekankan tanpa suka-suka setelah mengetahui wujudnya campur tangan individu tertentu untuk memberi serta mengatur pasukan yang beraksi dalam negara.

Beliau juga membuat pendedahan mengenai individu tersebut turut memberi hadiah bonus kepada pasukan lain sekiranya mereka berjaya menewaskan Kedah Darul Aman (KDA).

“Saya maksudkan ‘tokong’ itu (adalah) jangan (ada seseorang yang) terlalu supreme atau semua orang kena tanya dia (individu berkenaan). Mana boleh macam itu. Bola sepak permainan untuk semua orang,

“Dia ‘order’ sana, ‘order’ sini, suruh buat ini, suruh buat itu. Kawan (ada pihak) nak pergi latih sana, kena tanya dia dulu. Lepas itu dia ’round’ pusing pasukan lain, beri bonus kalau menang dengan Kedah. Saya tahu semua itu. Dia ingat orang tak tahu. Jangan bagi saya cerita semua,” ujarnya menerusi Astro Awani.

Dalam masa sama, Sanusi akui apa yang dibuat oleh Johor Darul Ta’zim (JDT) adalah sah berdasarkan perjanjian pinjaman sebelum itu setelah kelab tersebut memanggil semula pemain mereka, Syafiq Ahmad.

Walaupun ketiadaan Syafiq dalam pasukan, perkara tersebut dilihat bukan satu masalah buat Kedah menurut Sanusi apabila beliau yakin kelab itu mampu melahirkan lebih ramai bakat-bakat baharu pada masa akan datang.

Sanusi juga mengesahkan pihak mereka tidak akan sesekali membeli Syafiq secara tetap pada masa akan datang, sebaliknya mereka akan memberi fokus pada pemain-pemain muda berbakat.

“Orang lain pun boleh main (juga), saya tengah buat sekarang, Liga Menteri Besar di seluruh Kedah, saya ingat beratus orang akan dilahirkan daripada liga itu, saya tidak risau pasal pemain, ramai pun anak Kedah yang dieksport keluar, dilatih dan dicungkil di Kedah, saya tidak takut,

“(Skuad Kedah) macam kilang melahirkan pemain berkualiti, pasukan selatan pun ambil pemain Kedah dua, tiga orang, saya nak hairan apa?” katanya.

Sebelum itu, Liga Malaysia (Liga-M) dikejutkan dengan kenyataan media sosial rasmi JDT yang memanggil semula pemain mereka, Syafiq Ahmad setelah dipinjamkan kepada Kedah pada awal musim ini.