Berang disindir punca dua isteri Zainal Abidin Hasan gaduh tarik rambut

Berang disindir punca dua isteri Zainal Abidin Hasan gaduh tarik rambut

 

ISTERI pertama seorang jurulatih bola sepak yang terlibat dalam pergaduhan dengan madunya di sebuah restoran di Shah Alam, Selangor pada awal pagi Isnin kerana marah perkahwinan itu berlangsung di luar pengetahuannya.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, wanita tersebut berasa tersindir dengan kenyataan madunya dalam program Famili Duo baru-baru ini.

Menurut Mohd Iqbal, suspek yang juga isteri pertama dikatakan menarik rambut madunya di dalam sebuah restoran di Shah Alam hingga membawa pergaduhan dan pertengkaran di luar premis berkenaan.

“Pengadu kemudian membuat laporan polis pada pukul 2.18 pagi Isnin sejurus selepas kejadian pergaduhan.

“Hasil siasatan awal mendapati punca pergaduhan tersebut disebabkan suspek (isteri pertama) berasa tersindir dengan kenyataan pengadu dalam program Famili Duo.

“Dia juga marah kepada pengadu kerana telah berkahwin dengan suaminya tanpa pengetahuannya,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Mohd-Iqbal-Ibrahim

Terdahulu, dilaporkan seorang jurulatih bola sepak yang terpalit kontroversi berikutan perkahwinan kedua baru-baru ini, sekali lagi menjadi sorotan media selepas kedua-dua isterinya didakwa terlibat dalam pergaduhan.

Sementara itu, Mohd Iqbal memberitahu, isteri pertama jurulatih bola sepak itu turut membuat laporan polis pada hari yang sama.

“Setakat ini kedua-dua pihak telah dipanggil untuk diambil rakaman percakapan termasuk bekas jurulatih bola sepak tersebut,” katanya.

Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 160 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil.

Pada 9 Januari lalu, menerusi program Famili Duo, Fyna Jebat atau nama sebenar, Nur Syafinaz Jebat, 29 membuat pengakuan sudah bernikah dengan bekas pengendali Penang FC dan Melaka United, Datuk Zainal Abidin Hassan, 61.

“Alhamdulillah, saya telah pun bernikah. Terima kasih banyak-banyak. Harap doakan saya dan keluarga,” kata adik kepada penyanyi terkenal Ayda Jebat itu.