Berang melihat pesakit terbiar 3 hari tanpa tidur atau bantal, MP gelar kerajaan PN kerajaan ‘celaka’

Berang melihat pesakit terbiar 3 hari tanpa tidur atau bantal, MP gelar kerajaan PN kerajaan ‘celaka’

Seluruh Lembah Klang kini harus dilihat sebagai Unit Rawatan Rapi (ICU), kata anggota Parlimen Klang Charles Santiago.

“Hari ini, seluruh Lembah Klang mesti dianggap sebagai ICU. Kenapa? Kerana kita kekurangan bekalan oksigen, peralatan perubatan dan katil pesakit,” kata Charles dalam sidang media di luar Balai Polis Pantai di Kuala Lumpur hari ini.

Charles yang melahirkan rasa kecewa dengan keadaan itu berkata, dia kehilangan dua rakan sejak tiga hari lalu akibat wabak Covid-19.

Dia hadir ke balai polis itu bersama enam anggota parlimen dan dua aktivis bagi membuat laporan polis terhadap kementerian yang bertanggungjawab yang menurut mereka  ‘cuai’ dalam menangani Covid-19.

Charles berkata, terdapat kes di mana pesakit ditempatkan di luar jabatan kecemasan hospital selama tiga hari “tanpa tempat tidur atau bantal”, malah mereka yang sukar bernafas tidak menerima bekalan oksigen.

“Bukan satu, dua jam, tapi tiga hari. Nak cakap apa? Kerajaan telah gagal melindungi rakyat Malaysia. Apa lagi yang boleh dikatakan?” kata Charles, yang kelihatan kecewa.

“Saya sangat marah kerana saya kehilangan seorang rakan semalam dan dua hari sebelum itu, seorang lagi meninggal dunia. Kenapa? Kerana dia berada di sana selama dua setengah hari sebelum dapat bantuan dan keesokan harinya jam 10 pagi, dia meninggal,”katanya.

Charles menegaskan dia tidak menyalahkan petugas barisan hadapan kerana mereka telah bekerja keras dan melakukan yang terbaik sepanjang wabak melanda.

“Tetapi di mana kerajaan celaka ini?” soalnya.

Awal bulan ini, Charles menggesa kerajaan memperuntukkan RM20 juta kepada Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di Klang berikutan laporan bahawa hospital itu bergelut dengan peningkatan jumlah kes Covid-19.

Gesaan itu dibuat setelah Kementerian Kesihatan mengumumkan RM1.1 juta kepada HTAR, jumlah yang disebut oleh Charles sebagai “melucukan”.

Dalam sidang media hari ini, dia berkata peruntukan RM1.1 juta hanya dapat membeli beberapa ventilator dan ia tidak mencukupi untuk menampung keperluan hospital, termasuk bekalan oksigen.

“Kita berada dalam keadaan darurat. Seluruh Lembah Klang berada di bawah ICU. Apabila anda masuk ICU, tidak ada jaminan anda akan kembali bernyawa.

“Anda akan berada di ranjang kematian. Oleh itu, ini serius dan polis mesti siasat perkara ini.

“Kita tidak boleh biarkan kerajaan Malaysia membunuh rakyat Malaysia,” kata Charles, merujuk kepada laporan polis yang dibuat mereka hari ini.

Jumlah kes baru dan kematian akibat Covid-19 di Lembah Klang adalah yang tertinggi di seluruh negara sejak sebulan lalu.

Semalam, Lembah Klang mencatatkan 9,816 kes baru, yang menyumbang lebih daripada 60 peratus daripada jumlah kes di seluruh negara.

Lembah Klang juga mencatatkan 100 kematian semalam daripada 184 yang dilaporkan.

Terdapat juga laporan mengenai hospital di seluruh Lembah Klang berada di bawah tekanan apabila wad Covid-19 dan Jabatan Kecemasan bergelut untuk menangani sejumlah besar pesakit setiap hari.

Sumber – Malaysiakini