Berang pasangan tak balik, isteri ketiga mengamuk rosakkan kenderaan suami di rumah isteri kedua

Berang pasangan tak balik, isteri ketiga mengamuk rosakkan kenderaan suami di rumah isteri kedua

 

Seorang wanita dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan melakukan khianat dengan merosakkan motosikal berkuasa tinggi serta cermin kereta milik suaminya, Ahad lalu.

Siti Fazira Mohd Sofian, 28, yang juga isteri ketiga bagaimanapun mengaku bersalah atas perbuatan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Sharifah Armida Shasha Amir.

Tertuduh seorang peniaga kedai emas didakwa sengaja melakukan khianat dengan mengetuk cermin hadapan dan belakang kereta jenis Mercedes-Benz dan merosakkan bahagian belakang motosikal berkuasa tinggi jenis Honda Gold Wing.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu dengan menggunakan bakul mengisi buah, pada jam 2.15 petang, di kediaman madunya iaitu isteri kedua di sebuah rumah di Chukai, Kemaman.

Berikutan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 15 Mac depan untuk fakta dan hukuman.

Akhbar sebelum ini melaporkan bahawa tertuduh telah menerpa masuk pagar rumah madunya dalam keadaan marah apabila suaminya tidak pulang ke rumahnya selama dua hari berturut-turut.

Tertuduh kemudiannya naik angin apabila mendapati kelibat suaminya tiada di rumah madunya sebelum bertindak merosakkan kenderaan milik suami.