Berang tak raya rumah belah suami dulu, bapa mentua tengking menantu depan tetamu

Berang tak raya rumah belah suami dulu, bapa mentua tengking menantu depan tetamu

 

SAMBUTAN 1 Syawal pastinya tidak meriah tanpa kehadiran seluruh ahli keluarga sehingga ada yang menjadikan Aidilfitri sebagai tarikh wajib untuk berhimpun dan kunjung-mengunjung.

Pun begitu, ada insan yang merasakan perayaan sebagai acara yang perlu dielakkan kerana pernah melalui pengalaman hitam hingga menyebabkan trauma.

Seperti luahan seorang wanita di Twitter baru-baru ini, dia menyatakan pernah melalui pengalaman buruk semasa pertama kali beraya sebagai suami isteri di rumah mentuanya.

Malah katanya, dia tiba-tiba ditengking oleh bapa mentuanya di hadapan tetamu sejurus melangkah masuk ke rumah hanya kerana tidak beraya di rumah keluarga suami terlebih dahulu.

Seorang pelayar Twitter berkongsi pengalaman pertama kali rai lebaran sebagai suami isteri.

“Pertama kali raya sebagai suami isteri… jejak kaki masuk rumah terus kena tengking dengan bapa mentua di depan tetamu sebab tak raya belah suami dahulu.

“Selepas itu, setiap tahun akan ada drama raya. Setiap kali raya semua anak kena kumpul sebelah mereka dulu… anak-anak kena ‘sound’, perli, tengking kerana jadi suami yang adil dan beraya mengikut giliran.

“Pernah ibu mentua tak mahu salam dengan adik ipar kerana perkara ini,” dakwanya.

Lebih menyakitkan hati apabila adik-adik ipar yang masih bujang turut dikatakan menjadi batu api.

Namun selepas mereka sudah berumahtangga, drama raya semakin berkurangan dan ‘tradisi’ beraya rumah suami dahulu sudah tidak wujud.

Katanya lagi, kejadian yang paling tidak dapat dilupakan adalah apabila dia ditempelak sebab tidak memakai baju raya mengikut tema.

“Mereka rancang sesama sendiri, kemudian pagi raya tiba-tiba tempelak sebab tak ikut tema. Pernah sekali tu raya sebelah saya, tapi kena pendekkan masa kerana mentua suruh balik cepat untuk ambil gambar studio.

Kisah menantu dijaja pada sanak saudara yang lain.

“Mak ayah saya reda… tapi masa kat studio, dah ambil gambar semua orang, ada pula sesi mentua dan anak-anak saja. Menantu dan cucu duduk tepi seperti orang luar,” luahnya lagi.

Bukan itu sahaja, mentua sering memandang dingin pada menantu walhal anaknya sering mengabaikan mesej mahupun panggilan telefon kerana enggan melayan drama yang dibuat mereka.

Paling tidak masuk akal apabila mentua hanya membelikan kain bagi tema baju raya untuk anak mereka sahaja.

“Kalau pergi beraya, dia akan jaja cerita seolah-olah sikap menantu sangat teruk,” dakwa wanita itu lagi.

Terdahulu luahan tersebut dibuat susulan perkongsian seorang pelayar Twitter yang menyatakan dia suka melihat pasangan baru berkahwin beraya bersama.

Sebahagian netizen menzahirkan rasa simpati mereka.

Menjengah ke ruangan ciapan balas, rata-rata pelayar mengakui pernah melalui situasi yang hampir sama sehinggakan ada yang bercerai.

“Bukan nak cakap apa, tapi benda (perkara) ni real jadi dalam ahli keluarga sendiri. Sadisnya, suami dan ayah mentua dia sendiri narsistik.

“Kisah awak ni literally sama macam both my parents side, dua-dua masalah. Pentingkan anak dia saja walaupun dah kahwin beranak pinak, cucu dengan menantu pun dikutuk depan orang ramai.

“Kawan I pernah kena toksik dengan ayah mentua macam ni. Biras komplot dengan mak mentua sampai bercerai dibuatnya,” kata sebahagian warga maya.