Berbekalkan 3 kerusi Dun yang dimenangi, Pas dilantik mengetuai jawatankuasa pemuda PN

Berbekalkan 3 kerusi Dun yang dimenangi, Pas dilantik mengetuai jawatankuasa pemuda PN

Ketua Pemuda Pas Perak, Ahmad Faisal Mohd. Puait dilantik sebagai Ketua Jawawatankuasa Pemuda Perikatan Nasional (PN) Perak yang dibentuk dalam mesyuarat yang disertai Pas, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan parti Gerakan negeri di sini semalam.

Mesyuarat turut memilih Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Bersatu Perak, Muhammad Faizul Mohamed Ismail sebagai Timbalan Ketua Pemuda 1, Ketua Pemuda Gerakan Perak, Ong Kean Sing sebagai Timbalan Ketua Pemuda 2 dan Ketua Penerangan Pas negeri, Mohd. Hafez Sabri sebagai Timbalan Ketua Pemuda 3.

Mesyuarat pembentukan jawatan kuasa Pemuda PN Perak berlangsung tanpa melibatkan UMNO.

Ahmad Faisal berkata, mesyuarat dan pembentukan jawatan kuasa Pemuda PN negeri dilangsungkan tanpa melibatkan UMNO kerana menghormati pendirian parti itu yang tidak mahu menyertai PN.

“Kami menghormati keputusan UMNO yang enggan bersama PN, namun, kerjasama dengan UMNO masih ada, malah, kita sedang merancang untuk mengadakan program bersama UMNO.

“Kita juga tetap dengan pendirian yang telah diputuskan oleh kepimpinan parti iaitu untuk terus bersama PN dan dalam masa sama mahu memperkukuhan Muafakat Nasional (MN),” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Mengenai dakwaan pelantikan beliau sebagai Ketua Pemuda PN Perak sebagai tindakan Bersatu untuk membeli jiwa penyokong Pas, Ahmad Faisal berkata, andaian itu tidak benar.

“Pelantikan saya sebagai Ketua Jawatankuasa Pemuda PN Perak dibuat berdasarkan perbincangan dengan Bersatu dan Gerakan yang berjalan dalam suasana harmoni dan baik. Pelantikan semua ahli jawatan kuasa dibuat atas perbincangan yang diputuskan secara bersama.

“Kita lebih kepada ‘give and take’. Kalau kita lihat di Ketua Jawatankuasa Wanita PN Perak ia diberikan kepada Datuk Nolee Ashilin Mohamed Radzi (ADUN Bersatu), jadi, kami tiada masalah,” katanya.

Penubuhan Jawatankuasa Pemuda PN Perak semalam dilihat sebagai susulan daripada kerjasama Bersatu dan Pas untuk mengukuhkan kerjasama mereka selepas dua parti itu membentuk jawatan kuasa manifesto PN negeri Perak baru-baru ini untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) secara bersama.

Melalui jawatan kuasa manifesto itu, kedua-dua parti telah mengenal pasti kerusi yang berpotensi untuk ditandingi di peringkat negeri tanpa memberi fokus kepada keputusan UMNO. – Utusan