Berdepan dakwaan terima wang SRC, rakan sekolah tampil dedahkan siapakah sebenarnya YAA Mohd Nazlan, Hakim Mahkamah Rayuan

Berdepan dakwaan terima wang SRC, rakan sekolah tampil dedahkan siapakah sebenarnya YAA Mohd Nazlan, Hakim Mahkamah Rayuan

Badan kehakiman negara digemparkan dengan pendedahan oleh blogger Raja Petra Kamarudin yang mendakwa Hakim Mahkamah Rayuan, YAA Mohd Nazlan Mohd Ghazali disiasat berhubung terpalit konflik kepentingan dalam kes rayuan SRC International yang membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Menurut Raja Petra dalam portalnya Malaysia Today pada Selasa berkata, Nazlan disiasat berhubung wang RM1 juta yang tidak diisytihar dalam akaunnya.

Namun tuduhan tersebut pantas dinafikan Mohd Nazlan serta membuat laporan polis berhubung satu artikel bertajuk ‘Group calling for Najib’s pardon now wants judge Nazlan arrested’ dan ‘Shocking Revelation: Najib’s Trial Judge Nazlan’s Conflict-of-Interest Exposed’ bertarikh 14 Mac itu.

Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan dalam kenyataan media berkata, tuduhan itu adalah palsu, tidak berasas serta berniat jahat, malah dilihat berniat menjatuhkan kredibiliti Nazlan sebagai hakim selain mengganggu sistem keadilan dan institusi kehakiman.

“Laporan polis ini juga dibuat agar siasatan di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan peruntukan undang-undang lain yang berkaitan, dapat dijalankan.

Tampil memberikan sokongan, seorang bekas rakan sekolah Mohd Nazlan telah berkongsikan peribadi sebenar Hakim Mahkamah Rayuan tersebut, selepas tular dakwaan fitnah ke atasnya.

Zaim Al-Amin menerusi hantaran di Facebooknya mengatakan bahawa Mohd Nazlan adalah sosok individu yang amat disegani dan disanjungi oleh rakan-rakan yang mengenalinya.

Menurutnya, Nazlan ialah rakannya di Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) Kelas 84, berasal dari Ipoh, Perak.

“Mereka yang mengenalinya dari sekolah, universiti (Oxford), Suruhanjaya Sekuriti, Zaid Ibrahim dan Co., Jabatan Undang-undang Maybank akan bersetuju bahawa dia seorang yang sangat pintar yang mana integritinya tidak boleh dipertikaikan.

“Kami sebagai rakan seperjuangan sangat menghormati dan menghargai beliau. Nak bergurau pun segan dan cakap kena berlapik.

“Setidaknya ini saja yang mampu saya lakukan untuknya apabila beliau mendapat fitnah dari depan, belakang, kiri dan kanan.

“Tolong kongsikan (hantaran) ini secara meluas untuk menyebarkan kebenaran. Sebagai seorang kawan, saya terhutang budi kepadanya,” katanya.

Walaubagaimanapun Zaim Al-Amin kemudiannya dipercayai telah menukar tetapan pada hantaran tersebut terhad kepada rakan FBnya sahaja.