Berdepan masalah rumah tangga, Puteri Sarah tenangkan hati beli Mercedes baru
Pelakon Puteri Sarah bangga dengan pencapaian dirinya apabila mampu membeli kereta mewah Mercedes-Benz A-Class yang dianggarkan bernilai RM250,000 hasil titik peluhnya sendiri.
Puteri Sarah, 37, berkata, dia turut berkongsi detik manis itu bersama dua anaknya Syaikhul Islam, 5, dan Summayah, 3.
“Alhamdulillah, selepas lima tahun menjadi suri rumah, saya bangkit dengan kembali bekerja. Sepanjang tahun lalu saya aktif semula berlakon dan membuat beberapa perniagaan. Hasil titik peluh itu dapatlah saya membeli kereta idaman sendiri.
“Mungkin orang melihat ia biasa, tapi bagi saya ia cukup bermakna. Saya mahu buktikan pada orang ramai yang selama ini selalu bercakap saya hanya bergantung harap dengan duit suami.
“Apabila saya membeli kereta ini dengan hasil usaha dan kerja keras sendiri, rasa terharu dan sebak dibuatnya. Tidak menjangka juga saya boleh sampai ke tahap ini. Terima kasih keluarga, kedua ibu bapa dan mentua serta anak-anak,” katanya kepada Harian Metro.
Menurut Sarah, bapa mentuanya yang juga penerbit dan pengarah terkenal, Datuk Yusof Haslam adalah individu yang banyak mendorongnya untuk kembali bekerja.
“Datuk pernah cakap buat apa saya nak terperap di rumah dan terus bersedih. Lebih baik keluar bekerja. Alhamdulillah, saya masih diterima baik dan tawaran berlakon tak pernah putus sampai sekarang.
“Dalam masa sama, setiap apa yang saya usahakan mendapat sokongan semua. Terima kasih banyak kepada semua peminat dan orang ramai atas doanya yang baik-baik buat saya dan anak-anak,” katanya.