Berhenti buli Veveonah

Berhenti buli Veveonah

Dua orang timbalan menteri diminta berhenti membuli pelajar Veveonah Mosibin, sebaliknya mereka sepatutnya memberikan tumpuan menaik taraf kesalinghubungan internet di Sabah.

Menurut Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, tumpuan boleh diberikan kepada 50 tapak dalam 13 buah kampung di Sabah yang mana projek menaik taraf kesalinghubungan internet telah pun diluluskan kerajaan Pakatan Harapan.

“Kedua-dua mereka, iaitu, Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Zahidi Zainul Abidin serta Timbalan Menteri Kewangan, Abdul Rahim Bakri masih berdegil mempertahankan dakwaan mereka bahawa Veveonah, yang hanya berumur 18 tahun telah menipu.

“Dalam video yang tular, Veveonah menyatakan bahawa beliau terpaksa memanjat pokok di Pitas untuk mendapat liputan internet bagi menduduki peperiksaan kerana kesalinghubungan internet yang serba kekurangan.

“Malah, Zahidi menyalahkan DAP mahu mempolitikkan isu ini, sedangkan pihak kami tidak pernah berjumpa dengan Veveonah dan hanya memberikan ulasan selepas Zahidi menyerang pelajar 18 tahun tersebut dalam ucapannya di Dewan Negara.

“Sekiranya kedua-dua Timbalan Menteri mahu juga terus mencari salah Veveonah, maka DAP rela mereka menukar sasaran, melepaskan geram ke atas DAP dan berhenti membuli Veveonah.

“Kedua-dua Timbalan Menteri harus buat kerja dan laporkan perkembangan Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (National Fiberisation and Connectivity Plan atau NFCP) berjumlah RM290 juta untuk 152 tapak yang diluluskan oleh Kerajaan PH.

“NFCP dirancang untuk merapatkan jurang digital di antara kawasan bandar dan desa agar kawasan pedalaman juga mendapat perkhidmatan internet dan peluang yang sama rata,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Guan Eng, keengganan kedua-dua timbalan menteri tersebut untuk menjelaskan status NFCP dan sebaliknya terus menerus menyerang pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) itu menunjukkan sikap angkuh mereka. – MalaysiaGazette