Beri peluang Saarani buktikan komitmen mentadbir negeri

Beri peluang Saarani buktikan komitmen mentadbir negeri

Pakatan Harapan (PH) mahu memberi peluang kepada Menteri Besar Perak yang baharu, Datuk Saarani Mohamad membuktikan komitmennya dalam mentadbir kerajaan negeri.

Ketua Pembangkang DUN Perak, Dr Abdul Aziz Bari berkata, perkara itu dizahirkan dengan menyokong undi percaya terhadap Menteri Besar Perak yang diusulkan dalam Persidangan Dewan Negeri Perak pada Rabu.

Menurutnya, sokongan itu juga sebahagian daripada politik matang yang ditonjolkan pimpinan pembangkang bagi memastikan kestabilan politik di negeri ini dikekalkan.

“Sebenarnya sokong atau tidak menyokong, beliau tetap menang dalam usul itu kerana kerajaan negeri mempunyai 33 kerusi berbanding pembangkang, 24.

“Tetapi kita mahu bersikap matang, jadi kita berilah peluang kepada beliau, tambahan beliau masih baru (menteri besar),” katanya ketika dihubungi pemberita.

Beliau bagaimanapun menegaskan, pembangkang akan terus memainkan peranan secara konstruktif bagi memastikan kerajaan negeri melaksanakan tanggungjawab dengan baik.

Saarani yang dilantik sebagai Menteri Besar Perak ke-14 pada 10 Disember lepas menerima sokongan sebulat suara daripada kesemua ADUN termasuk pembangkang bagi menyatakan kepercayaan penuh terhadap kepimpinannya.

Usul berkenaan dibawa Jamilah Zakaria (BN-Trong) di bawah Perintah Tetap 17(1) dan 17(2) Perintah-Perintah Tetap Dewan Perhimpunan Undangan Negeri Perak dan disokong Khairudin Abu Hanipah (BN-Belanja) sebelum diterima Speaker DUN Perak, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid atas kepentingan rakyat.

Sumber: https://www.sinarharian.com.my/article/115138/BERITA/Politik/Beri-peluang-Saarani-buktikan-komitmen