Berita gembira buat penduduk, PM arah tangguh sementara pembangunan Kampung Sg. Baru

Berita gembira buat penduduk, PM arah tangguh sementara pembangunan Kampung Sg. Baru

Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengarahkan projek pembangunan semula Kampung Sungai Baru, Kuala Lumpur, ditangguhkan ke suatu tarikh yang akan dimaklumkan.

Setiausaha politiknya, Azman Abidin mengesahkan perkara itu ketika dihubungi Malaysiakini.

“PM mengarahkan agar projek ini ditangguhkan sebulan atau sehingga suatu tarikh yang akan dimaklumkan semula.

“Ia adalah untuk membolehkan satu rundingan semula dengan penduduk dan pihak yang berkepentingan dilaksanakan dan penyelesaian kepada isu-isu yang dibangkitkan oleh penduduk,” katanya.

Katanya, keputusan itu diambil selepas penduduk kampung meminta Anwar campur tangan setelah mereka diarah mengosongkan rumah sebelum 19 Januari, 30 hari selepas notis pengusiran dikeluarkan.

Pada 19 Disember 2022,  Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (PTGWPKL) mengeluarkan notis pengusiran kepada penghuninya yang merupakan pemegang pajakan 99 tahun, yang masih mempunyai baki 57 tahun.

Isu pengambilan tanah Kampung Sungai Baru melibatkan 67 unit rumah teres dan 14 blok pangsapuri dikenali sebagai Pangsapuri Sungai Baru dengan proses pengambilan tanah bermula sejak tahun 2016.

Penduduk, terutama penghuni rumah teres, tidak setuju dengan kadar pampasan RM400 kaki persegi yang ditetapkan oleh PTGWPKL.

Sebanyak 37 penduduk rumah teres tidak setuju dengan kadar pampasan RM400 kaki persegi yang ditetapkan, manakala 27 penghuni lagi bersetuju.

Terdapat penduduk meminta lanjutan masa untuk berpindah.