Berjaket & spek mata hitam, Hafidz Roshdi hadir ke mahkamah diiringi 5 lelaki
Pelakon Hafidz Roshdi telah hadir ke Mahkamah Kuala Kubu Bharu pagi ini dipercayai didakwa pertuduhan mencederakan isterinya.
Menerusi perkongsian dari Instagram Melodi, Hafidz telah hadir dengan memakai cermin mata hitam dan diiringi oleh lima individu menaiki sebuah pikap sebelum masuk ke kompleks mahkamah bersama peguamnya.
Dia dilihat berjalan dan sempat menyapa media yang berada di perkarangan sebelum terus masuk ke dalam mahkamah.
Memetik laporan dari Harian Metro, Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan sebelum ini ada memaklumkan yang pelakon berusia 29 tahun itu akan didakwa di mahkamah pada pagi ini.
Dia juga bakal dituduh mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.
Terdahulu, pelakon drama Mr Donat Karamel dipercayai telah menumbuk isterinya di R&R Sungai Buloh pada 2 Mac lalu sebelum ditahan polis, bagi membantu siasatan kes terbabit.