Berkumpul di rumah Muhyiddin, IGP beri amaran SOP MKN masih berjalan

Berkumpul di rumah Muhyiddin, IGP beri amaran SOP MKN masih berjalan

Ingat, prosedur operasi standard (SOP) Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengenai pergerakan dan larangan penganjuran apa-apa jua akiviti sosial masih berkuatkuasa di seluruh negara.

Pembatalan Ordinan Darurat seperti diumumkan kerajaan tidak bermakna segala larangan PKP dan MKN selama ini sudah tidak terpakai lagi.

Itu peringatan tegas Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani yang meminta masyarakat supaya terus mematuhi SOP dalam usaha melandaikan lengkuk  Covid-19.

Katanya, usaha dan kerjasama masyarakat amat diperlukan dalam menjayakan Pelan Pemulihan Negara (PPN).

“Bagi mencapai matlamat itu, PDRM ingin menasihati masyarakat bahawa SOP MKN mengenai pergerakan dan larangan mengenai apa-apa aktiviti sosial masih berkuatkuasa di negeri-negeri di bawah PPN Fasa 1 dan 2,” kata beliau dalam kenyataan hari ini.

Ujar Acryll Sani, antaranya aktiviti rentas sempadan negeri dan daerah dilarang sama sekali kecuali bagi tujuan dibenarkan iaitu hanya dua orang wakil isi rumah keluar untuk mendapatkan bekalan makanan, ubat, penokok diet dan keperluan asas dalam radius tidak melebihi 10 kilometer dari kediamannya.

Tambah beliau, maksimum tiga orang sahaja termasuk pesakit dibenarkan keluar untuk mendapatkan perkhidmatan vaksinasi, perkhidmatan jagaan kesihatan, perubatan, ujian saringan, program vaksinasi, keselamatan dan kecemasan dalam radius tidak melebihi 10 kilometer dari kediamannya atau ke tempat paling hampir dengan kediamannya dalam radius sama.

“Justeru pergerakan merentas daerah dan negeri bagi tujuan vaksinasi Covid-19 Di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di luar daerah atau negeri tempat tinggal dibenarkan dengan menunjukkan butiran janji temu di aplikasi MySejahtera, laman sesawang atau SMS.

“Sebarang aktiviti sosial yang boleh menyebabkan ramai orang hadir di suatu tempat sehingga menyukarkan penjarakan fizikal dan pematuhan kepada arahan Ketua Pengarah Kesihatan adalah tidak dibenarkan sama sekali,” tegasnya.

Acryl menjelaskan dalam peranan mendukung hasrat kerajaan dalam memerangai wabak Covid-19, PDRM kekal komited dan akan meneruskan pemantauan pematuhan SOP demi keselamatan kesihatan masyarakat.

“Mana-mana individu yang didapati sengaja melanggar segala larangan dan peraturan yang ditetapkan, tindakan sewajarnya akan diambil di bawah Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342),” tegas beliau.

Sumber – MalaysiaGazette