Berlaku kesulitan berjumpa anak-anak, Hafidz Roshdi tuntut hak penjagaan penuh Humairah dan Umar

Berlaku kesulitan berjumpa anak-anak, Hafidz Roshdi tuntut hak penjagaan penuh Humairah dan Umar

Memetik Malaysia Gazette, pelakon Hafidz Roshdi telah membuat permohonan untuk menuntut hak penjagaan penuh kedua-dua anaknya yang kini berada di bawah jagaan isteri, Nurul Shuhada Mat Shukri.

Perkara tersebut disahkan oleh Ummi Kartini Abd Latiff selaku peguam syarie yang mewakili Hafidz Roshdi.

Difahamkan, permohonan tuntutan tersebut telah difailkan di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam pada hari Jumaat yang lalu.

Selain hak penjagaan penuh, Hafidz juga memohon hak jagaan interim (sementara) berikutan terdapat kesulitan untuk dia berkomunikasi dan berjumpa anak-anak sebelum ini.

Dia sebelum ini meluahkan rasa sedih kerana tidak dapat berjumpa mereka pada Hari Raya Aidilfitri yang lalu.

Terdahulu, Hafidz dan Shuhada telah mendirikan rumah tangga pada 30 April dan hasil perkongsian hidup mereka dikurniakan dua orang cahaya mata iaitu Humairah dan Umar.

Mereka berdua kini sedang dalam prosiding menentukan status perkahwinan yang akan disebut semula di mahkamah pada 20 Jun ini.