Berpanas di bawah payung mencari ‘line internet’, kegigihan Nabilah berPdPR dapat perhatian bekas menteri pelajaran

Berpanas di bawah payung mencari ‘line internet’, kegigihan Nabilah berPdPR dapat perhatian bekas menteri pelajaran

Cerita Adik Nabilah

Dalam perjalanan pulang memberi bantuan kepada penduduk kampung Bukit Nyamuk, saya terpandang sebuah payung besar di tepi jalan di hadapan salah sebuah rumah di dalam kampung tersebut.

Kelihatan seorang adik perempuan sedang duduk di bawah payung besar itu bersama sebuah meja dan sebuah kerusi kosong di hadapannya.

Jam menunjukkan tepat jam 12 tengahari. Matahari yang berada tepat di atas kepala dengan bahang dan cahayanya yang merelit bagaikan tidak diendahkan oleh adik tersebut.

Kami memberhentikan kereta seraya mendekati adik tersebut. Rupanya adik yang dikenali sebagai Nabilah itu sedang mengikuti sesi PdPR meskipun cuaca panas terik!

Beliau terpaksa duduk di bawah payung di hadapan rumah, di tepi jalan demi mendapatkan capaian internet yang ada, kerana di kawasan Bukit Nyamuk tersebut capaian internet begitu lemah dan hampir tiada. Menurut adik Nabilah, capaian internet di hadapan rumah itu walaupun lemah namun lebih kuat berbanding capaian internet di dalam rumah.

Mendengar aduan Nabilah, hati saya menjadi sendu, pilu dan pasrah, tetapi kagum dan bangga dengan usaha beliau.

Saya mengambil kesempatan tersebut untuk berbicara dengan gurunya yang sedang rancak mengajar subjek Sains tingkatan dua, Cikgu Izan dari sekolah Menengah Kahang Timur. Melalui suara beliau yang bersemangat dan juga bahan bahan yang dipaparkan di skrin, Cikgu Izan pastinya seorang yang berdedikasi dan berjiwa kental.

Saya pasti Cikgu Izan agak terkejut ketika saya menyapa beliau. Maafkan saya Cikgu 🙏.

Saya terpaksa menganggu sesi pembelajaran Cikgu kerana kagum dengan kesungguhan Cikgu dan kekentalan adik Nabilah.

Tahniah saya ucapkan kepada adik Nabilah dan kembarnya adik Nadia (tiada di dalam gambar) kerana berusaha bersungguh-sungguh belajar dan menghadiri kelas dalam talian walaupun dengan seribu cabaran.

Tahniah juga khusus kepada Cikgu Izan kerana bertungkus lumus mengajar murid-muridnya walaupun dalam masa yang mencabar.

Tidak lupa juga tahniah kepada ibu bapa Nabilah dan Nadiah yang begitu bersemangat memberikan sokongan kepada anak-anak mereka untuk belajar.

Seperti yang saya telah muat naik kelmarin, kami telah cuba memastikan agar syarikat syarikat Telco datang ke kawasan parlimen Simpang Renggam untuk memperbaiki keadaan. Seperti yang telah kita kongsikan juga, mereka sedang berusaha untuk meluaskan capaian internet di kawasan-kawasan di dalam Parlimen Simpang Renggam. Kawasan Bukit Nyamuk adalah satu satu lokasi yang mereka sedang usahakan bersekali dengan kawasan sekitarnya seperti Felda Layang-Layang.

Kita doakan, InshaAllah tidak lama lagi kawasan-kawasan ini akan mendapat capaian internet yang lebih elok. Harapan saya agar adik-adik seperti adik Nabilah dan adik Nadia tidak perlu lagi duduk di tepi jalan demi menghadiri kelas PdPR.

Anak-anak murid dan guru ingin ke sekolah, namun keadaan tidak mengizinkan. Semoga keadaan akan kembali pulih seperti biasa… bersama kita doakan 🤲…

#SimpangRenggamDihatiku