Berpuasa tidak selari dengan kebanyakan negara dunia, Mufti Perlis desak kaedah penentuan Ramadan negara disemak

Berpuasa tidak selari dengan kebanyakan negara dunia, Mufti Perlis desak kaedah penentuan Ramadan negara disemak

Mufti Perlis, Sahibus Samahah Dr. Mohd Asri Zainul Abidin hari ini membuat gempar apabila mendesak kaedah penetapan permulaan Ramadan negara ini disemak semula.

Beliau membuat cadangan itu di dalam laman Twitter rasminya hari ini, susulan permulaan puasa negara ini yang tidak selari dengan kebanyakan negara timur tengah yang telah pun berpuasa mulai hari ini, Sabtu.

“Kebanyakan negara sudah pun berpuasa khususnya negara-negara Arab. Di rantau sebelah sini, selain negara-negara MABIMS, banyak yang telah pun berpuasa. Saya mencadangkan kiraan imkanur rukyah yang MABIMS ubah dan guna sebagai kiraan mereka patut dinilai dan disemak semula”.

Semalam, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad mengumumkan umat Islam di Malaysia akan mula berpuasa Ahad ini.

“Tarikh permulaan puasa bagi negeri-negeri di seluruh Malaysia ditetapkan pada hari Ahad ini, 3 April 2022 bersamaan 1443H/2022M menurut perintah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah selepas diperkenan oleh Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja,”.

Sebagai info, Malaysia menggunakan kaedah imkanur rukyah dalam menentukan permulaan Ramadan.