Berpunca kecuaian ibunya, seorang kanak-kanak ‘berpesta’ aiskrim

Berpunca kecuaian ibunya, seorang kanak-kanak ‘berpesta’ aiskrim

Gara-gara meminati kartun SpongeBob SquarePants, seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun telah membeli aiskrim karakter itu berjumlah USD2,600 (RM10,715) menerusi laman sesawang Amazon, lapor akhbar New York Post.

Pembelian tidak disengajakan kanak-kanak bernama Noah itu membabitkan 51 bekas yang mengandungi 918 batang aiskrim di dalamnya.

Biarpun kesilapan tersebut nampak comel, Amazon bagaimanapun tidak menerima pemulangan semula aiskrim tersebut dan ibu kanak-kanak terbabit, Jennifer Bryant terpaksa membayar harga aiskrim berkenaan.

Bagaimanapun, seorang individu yang pemurah kemudian mewujudkan kutipan derma dalam talian menerusi laman sesawang GoFundMe bagi membantu membiayai kos tersebut.

Menurut laman sesawang kutipan dana itu, peminat cilik SpongeBob itu membeli aiskrim kartun berkenaan untuk dihantar ke rumah ibu saudaranya.

Kos harga aiskrim berkenaan bagaimanapun berjaya dibayar sepenuhnya apabila orang ramai bermurah hati memberikan sumbangan kepada Bryant berjumlah USD3,675 (RM15,150).

“Terima kasih atas kemurahan hati anda semua,” kata wanita itu pada laman sesawang tersebut yang turut menggunakan lebihan kutipan dana itu untuk rawatan anaknya yang menghidap autisme.

Insiden tersebut bukan yang pertama membabitkan perbelanjaan secara senyap tanpa disengajakan.

Sebelum ini, seorang wanita di Connecticut terkejut apabila anak lelakinya yang berusia enam tahun menggunakan kad kreditnya berjumlah USD16,000 (RM65,960) untuk membeli permainan video. – FMT