Bersalah ‘try’ isteri orang dengan niat tidak baik, bapa 2 anak didenda RM6,000
Mahkamah Majistret Petaling Jaya hari ini menjatuhkan hukuman denda RM6,000 ke atas seorang bekas pegawai kanan tentera di atas kesalahan memikat isteri orang pada 2016.
Memetik laporan Kosmo!, jika tertuduh gagal membayar denda itu dia boleh dipenjara selama lima bulan. Tertuduh kemudiannya membayar denda berkenaan.
Tertuduh, Azmi Ali didakwa memikat dengan niat jenayah supaya wanita itu melakukan persetubuhan dengannya di sebuah rumah di Bandar Putra Permai, Seri Kembangan.
Pikat isteri orang
Timbalan Pendakwa Raya Siti Maryam Jamilah Md Kamal berkata, kes ini telah menyebabkan perkahwinan pengadu (suami wanita yang dipikat) terjejas dan rumah mereka dijual.
Pengadu juga terpaksa pulang ke kampungnya di Terengganu selepas perniagaan gulung tikar kerana dia hilang fokus akibat kes ini.
Akibat kejadian ini juga, pengadu mengalami kemurungan dan terpaksa menerima rawatan serta kaunseling di klinik.
Tertuduh dah kahwin, ada 2 anak
Terdahulu, peguam mewakili tertuduh memohon hukuman denda minimum dengan alasan ini merupakan kesalahan pertama dan tertuduh telah menyesal.
Tertuduh sudah berkahwin dan ada dua anak serta tiada rekod jenayah. Tertuduh berkhidmat sebagai tentera selama 28 tahun, namun dinasihatkan berhenti menyebabkannya menganggur.
Tertuduh baru sahaja mendapat pekerjaan pada Januari tahun ini sebagai pegawai keselamatan dengan gaji RM4,500 sebulan.