Bersatu akan terus menerajui kerajaan PN, kata Rina dengan yakin
Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yakin rakyat akan terus memberi kepercayaan kepada parti itu untuk terus menerajui kepimpinan negara berdasarkan Belanjawan 2021 yang menyaksikan banyak peruntukan diberikan untuk kesejahteraan rakyat dan wanita.
Ketuanya, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, dengan keikhlasan hati yang ditunjukkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) menerusi bajet itu, rakyat diyakini akan terus memberi kepercayaan kepada parti itu untuk berada di kepimpinan sekarang dan pada masa akan datang.
“Srikandi akan terus menyampaikan bantuan kepada ahli-ahli kita dan masyarakat di luar sana.
“Semoga permuafakatan yang ada antara kita menjadi kemenangan pada Pilihan Raya Umum (PRU) yang akan datang,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar sempena Persidangan Tahunan Bersatu Kali Ketiga yang diadakan secara maya dan disiarkan secara langsung di Facebook rasmi Bersatu hari ini.
Mengulas lanjut, Rina berkata, sebagai persediaan menghadapi PRU akan datang juga, Srikandi akan terus menyelami hati rakyat dan memasang benteng pertahanan untuk strategi serangan, mengatur gerak kerja kempen dan membuka lebih banyak cawangan parti itu mulai sekarang.
Menurutnya, Srikandi juga telah menubuhkan Biro Wanita Muda untuk menambah keahlian golongan yang berusia dari 18 hingga 35 tahun ke dalam parti tersebut.
“Insya-ALLAH dengan adanya Biro Wanita Muda dan kempen keahlian yang kita jalankan sudah pasti ia tidak boleh menghalang kita untuk menjadi sebagai suara wanita di negara ini.
“Saya jamin Srikandi akan terus komited dan memegang kepada janji. Atas semangat Srikandi, kita bukan wanita yang ada di rumah, di dapur dan membuat kerja mencuci, mengurus rumah tangga tetapi Srikandi juga komited berpegang janji turun padang menyantuni dan menjaga kebajikan rakyat,” katanya.
Sumber: Sinar Harian