Bersatu berjaya ‘curi’ 30 ahli UMNO Johor

Bersatu berjaya ‘curi’ 30 ahli UMNO Johor

UMNO menerima tamparan hebat apabila 30 ahlinya melibatkan dua cawangan dalam bahagian Mersing mengisytiharkan keluar parti berkuat kuasa pada Sabtu dan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Mereka merupakan 15 ahli dari cawangan Kampung Triang manakala 15 ahli lagi dari cawangan Kampung Baru Air Tawar.

Bekas Ketua UMNO Cawangan Kampung Triang, Ahmad Ashri Othman berkata, mereka mengambil keputusan itu selepas hilang kepercayaan susulan isu semasa dalam UMNO yang belum selesai sehingga kini.

Beliau berkata, perkembangan isu semasa yang berlaku juga dalam UMNO membuatkan mereka keluar parti dan hilang minat terhadap parti itu.

“Tambahan pula kita dapati bekas wakil rakyat Endau meskipun beliau daripada UMNO dan menyertai Bersatu, beliau telah melakukan kerja yang terbaik demi membantu rakyat di sini,” katanya seperti dilaporkan akhbar Sinar Harian.

Pada majlis itu, bekas ahli UMNO tersebut menyerahkan borang keahlian Bersatu kepada Ketua Wanita Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Rina Mohd Harun.