Bersatu minta Anwar sokong Muhyiddin

Bersatu minta Anwar sokong Muhyiddin

Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu bersama-sama memberi sokongan kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam membantu kebajikan rakyat dan bukannya hanya fokus untuk berpolitik menukar kerajaan sehingga mendatangkan ketidakstabilan kepada negara.

Demikian kata Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang mengulas lanjut dakwaan Presiden PKR itu yang dikatakan mendapat perkenan mengadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustaffa Billah Shah, 13 Oktober ini.

Ahmad Faizal menegaskan pandemik COVID-19 yang melanda dunia ketika ini lebih meruncing berbanding isu ahli politik yang kerap kali menimbulkan keresahan kepada rakyat.

“Kita harap tidak (bertukar kerajaan) dan saya fikir rakyat harap tidak.. dah tak lalu nak tunggu dekat istana, nak tunggu depan tv..siapa angkat sumpah dan sebagainya.

“Saya kira semua orang termasuk Datuk Seri Anwar marilah kita sama-sama cari jalan kerja bagi sokongan kuat kepada Tan Sri Muhyiddin untuk beliau terus dapat bantu rakyat, bukan kerja untuk kita cari jalan kerja pecah belahkan sesama kita.

“Ini waktu untuk kita bersatu untuk semua rakyat, musuh kita di hadapan adalah virus yang boleh membunuh ini COVID-19, yang perlu kita selesaikan, selepas itu kalau nak berpolitik balik politiklah,” katanya.

Beliau bercakap demikian kepada pemberita selepas menyaksikan pertukaran memorandum persefahaman (MoU) di antara Digital Perak dan Multimedia Universiti (MMU), Cyberjaya di Ipoh pada Jumaat.

Tambahnya, kerajaan yang diterajui Muhyiddin setakat ini mendapat majoriti dan melaksanakan kerja seperti biasa.

Terdahulu, dalam satu kenyataan pada Khamis, Anwar yang juga Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat berkata beliau akan mempersembahkan keterangan lengkap mengenai jumlah majoriti Ahli Parlimen yang didakwa menyokongnya seperti dinyatakan pada 23 September lalu.

Dengan itu ujarnya, langkah yang sebelum ini tertangguh kini dapat dilaksanakan selepas mendapat perkenan menghadap baginda.

Sumber: Suara Perak